HANS (kanan) bersama Ahmad Idham (kiri) akan bekerjasama memajukan FINAS dan industri seni tanah air. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
HANS (kanan) bersama Ahmad Idham (kiri) akan bekerjasama memajukan FINAS dan industri seni tanah air. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Amirul Haswendy Ashari


ISU caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) penggiat seni adalah antara 15 manifesto penting dalam pelan pembentangan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac.

Hans yang baru dilantik sebagai Pengerusi FINAS berkuat kuasa 8 April lalu berkata, 15 manifesto itu disifatkan wajar berdasarkan pengalaman beliau selama 27 tahun di dalam industri perfileman tempatan.

"Inisiatif pertama pihak kami adalah untuk memastikan kebajikan pemain industri terbela.

"Saya sudah ada 'template' cadangan untuk dibawa kepada KWSP dan PERKESO, selain itu saya akan bercakap dengan semua produser dan stesen televisyen mengenai perkara ini," katanya.

Pun begitu, beliau ketika ditemui pada sidang media khas bersama media di FINAS, Hulu Klang hari ini mengakui terdapat proses tertentu yang perlu dilalui untuk merealisasikan setiap manifesto dibentangkan.

Tanpa berselindung, Hans mengakui situasi yang pernah melanda Allahyarham Yusni Jaafar dan Datuk Aziz Satar antara punca beliau terdetik melakukan perubahan itu di dalam industri.

Katanya, sejak lebih dua dekad, banyak masalah disuarakan artis tempatan yang hidup merana di akhir hayat.

"Tanpa memberitahu sesiapa, saya dan rakan pernah turun membantu artis yang hidup susah sebelum ini.

"Ia adalah perkara yang sukar dan sejak itu saya bertekad mahu melakukan sesuatu untuk menyelesaikan isu ini," katanya menganggap itu adalah agenda peribadinya sendiri.

Bagaimanapun, beliau bersama Ahli Lembaga di FINAS belum bersedia untuk mendedahkan lagi baki manifesto yang dicadangkan sebaliknya akan membuktikannya dengan keputusan akhir.

"Saya dan Ahmad Idham (Ketua Pegawai Eksekutif FINAS) tidak mahu lagi melihat ke belakang apa yang pernah berlaku di dalam perbadanan ini dulu tapi kami akan bergerak ke depan.

"Saya akui sebelum ini kita asyik menyalahkan FINAS dan apabila berada di dalamnya, barulah saya faham," katanya.

Oleh itu, beliau akan memastikan budaya mencanang 'saya akan' tidak lagi diguna pakai dalam memastikan setiap tuntutan industri dipenuhi, sebaliknya melaksanakan serta melihat hasil dan barulah menghebahkan kepada umum.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 9:54 PM