SINGLE Langgar Lari sebahagian daripada amanat Loque kepada anaknya dan generasi masa depan.
SINGLE Langgar Lari sebahagian daripada amanat Loque kepada anaknya dan generasi masa depan.
Rudy Imran Shamsudin


PENYANYI utama kumpulan Monoloque, Khairil Ridzwan atau Loque punya misi peribadi apabila tampil dengan single terbaharu berjudul Langgar Lari.

Loque mahu memperjuangkan dan mempopularkan kembali bahasa Melayu klasik yang digabung dengan muzik moden.

Menurut Loque, dia mendapat idea untuk mengangkat dan mempopularkan kembali bahasa Melayu klasik kerana menyedari kebelakangan ini generasi muda meminggirkan bahasa Malaysia dan lebih gemar menggunakan bahasa Inggeris dalam pertuturan seharian.

Perkara itu jelasnya secara perlahan-lahan menghakis identiti kita sebagai orang Malaysia sedangkan bahasa sebahagian daripada perlambangan jati diri.

Penyanyi itu juga berkata, single Langgar Lari sebahagian daripada amanatnya kepada anaknya dan generasi masa depan.

“Jika pendengar meneliti lagu Langgar Lari dan melihat definisi Kamus Dewan, umumnya ia membawa maksud perbuatan melanggar (di jalan raya) kenderaan lain, orang dan sebagainya tanpa menunggu atau membuat laporan polis.

“Bagaimanapun, saya mengaitkan kata Langgar Lari dengan sikap orang sekarang yang suka membuat hal tanpa rasa bersalah dan melanggar tanpa hiraukan adat serta tatasusila.

“Andai sikap sedemikian semakin menjadi-jadi bayangkan bagaimana kita mahu membangunkan negara agar berada di tahap minda dan budaya yang tinggi?,” katanya.

Lagu Langgar Lari sudah tersimpan lama iaitu sejak era Myspace sekitar 2006. Ia satu eksperimen penyanyi dan komposer itu mengenai penggayaan bahasa Malaysia dalam penulisan lirik selepas keajaiban album Selamat Tinggal Dunia (terbitan 2005), album penuh Bahasa Malaysia oleh Butterfingers.

Ia juga disifatkan Loque sebagai batu loncatan untuknya mengasah ketajaman kosa kata dan ayat bahasa Malaysia untuk menggambarkan apa yang terpendam mengenai masyarakat yang tidak selesa memberi penghargaan kepada pemuzik tempatan apabila berada di pentas.

“Lirik yang saya tampilkan dalam Langgar Lari ini juga bukan untuk meraih simpati agar setiap kali kami beraksi di atas pentas diberikan tepukan gemuruh sambil berdiri dengan sorakan kerana muzik akan tetap diperjuang dan dengan penuh rendah hati.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada mereka yang memberi perhatian dan mendengar semasa persembahan di pentas. Namun, ada juga berlaku apabila saya dan artis lain penat mencurah rasa dan jiwa waktu menghiburkan penonton tetapi mereka tidak peduli,” katanya.

Loque yang suka menghasilkan muzik dengan cara berbeza merakamkan Laggar Lari dalam tempoh satu hari apabila semua anggota kumpulan dikurung dalam studio rakaman di Jakarta.

“Boleh dikatakan proses ini agak rumit dan memenatkan tapi ini situasi biasa dilihat pada era 80-an dan 90-an apabila kumpulan ternama akan merakam lagu dalam satu sesi sahaja.

“Dua atau tiga instrumen dimainkan bersama, gelombang bunyi bertemu, tenaga menjadi satu, inilah keajaiban bunyi yang tercipta apabila semua ada dan tak mungkin boleh terjadi jika hanya dirakam instrumen satu persatu.

“Lepas selesai rakam kami semua memang penat tetapi pengalaman ini memang tak ternilai”, kongsi Loque yang baru-baru ini memenangi anugerah Tema Lagu Terbaik untuk filem Buskers di Festival Filem Malaysia ke-30.

Berada di Jakarta, Indonesia juga menyuntik inspirasi kepada Loque dan ahli kumpulannya di mana semangat nasionalisme dan memartabatkan budaya amat tinggi dalam kalangan muda mudi seperti mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2019 @ 5:00 AM