Sudirman Mohd Tahir

SELEPAS dua bulan kontroversi dia membuka tudung, rutin kehidupan dan kerjaya pelakon Emma Maembong kembali seperti biasa.

Emma, 27, atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail berkata, dia masih menerima banyak komen negatif di Instagram, tapi lebih selesa mengambil sikap tidak kisah kerana dia perlu terus ke depan.

Emma juga mengakui, sebagai manusia biasa memang tidak lari dari kesilapan.

“Jika kita buat silap dan nak dihukum sampai bila-bila, kita akan selamanya di situ dan takkan ke depan. Jadi, apa yang penting apabila buat silap, kita belajar,” katanya ketika ditemui di lokasi penggambaran telefilem Silang terbitan JS Pictures Sdn Bhd.

Emma berkata, dia juga memaafkan netizen yang menegurnya secara berhemah dan menganggap setiap teguran ke arah positif itu adalah tanda orang mengambil berat terhadap dirinya.

“Saya terima setiap teguran. Namun, mana-mana komen kasar dan jahat, saya biarkan saja di situ. Biar netizen lain tengok. Mereka bukan nasihat saya, tapi itu adalah buli siber. Mereka yang menasihati bab agama sepatutnya tahu cara terbaik untuk melakukannya. Agama kita tidak mengajar untuk menegur satu sama lain dengan cara kasar.

“Jadi, cara mereka itu salah dan dapat dosa juga. Ia bukan cara terbaik untuk menegur orang. Bagi saya, tegur kena ada caranya. Saya dengar setiap teguran dan saya berterima kasih kerana menegur. Saya tahu, kalau yang menegur itu dia ambil berat mengenai saya,” katanya.

Dalam masa sama, Emma yang baru pulang dari mengerjakan umrah sempena hari jadinya pada 27 Mac lalu berkongsi saat indah yang tidak akan dapat dilupakan sampai bila-bila.

Ditanya mengenai hubungannya dengan lelaki dikenali sebagai Syed Abdullah Syed Abdul Rahman, Emma selesa mengunci mulut.

“Saya solo lah,” katanya ringkas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 10:40 AM