GENTLE Bones
GENTLE Bones
Georgie Joseph


DILEMA yang sering dihadapi setiap pemuzik dalam karier ialah sama ada untuk berkarya mengikut diri sendiri atau menghasilkan lagu popular segera.

Namun, penulis lagu dan penyanyi, Gentle Bones atau nama penuhnya Joel Tan, 24, dari Singapura akan terus berpegang teguh dengan muzik dicintainya.

Memperjuangkan muzik folk indie dan alternatif R&B, dia percaya genre itu ada kekuatan tersendiri.

Joel berkata, dia tidak akan menyimpang daripada muzik yang dicintainya demi mahukan dirinya menjadi hit segera.

Bagaimanapun, dia tidak pernah menolak muzik pop, malah turut menggemarinya.

“Saya percaya setiap pemuzik kena tulis dan terbitkan lagu yang mereka benar-benar cintai. Jika apa yang disampaikan dalam lagu itu adalah luahan emosi jujur mereka, pastinya ia akan berhasil,” katanya.

Disebabkan itu, Joel terus menggunakan hala tuju sama bagi penghasilan EP ketiganya berjudul Michelle baru-baru ini.

Dia yakin impak lagunya dalam album berkenaan boleh setanding lagu pop.

“Dalam menghasilkan album itu, saya semestinya terus berpegang teguh kepada muzik yang lebih dekat di hati. Namun sebagai peminat muzik pop, lagu saya masih ‘catchy’ dan mampu menyentuh,” katanya.

Menggunakan judul nama wanita iaitu Michelle, Joel tidak menafikan percaturan itu akan menimbulkan tanda tanya. Apatah lagi, judul itu mungkin dipilih berdasarkan seseorang yang dekat padanya.

Penyanyi terbabit me­ngakui judul itu memang dipilih bersempena seorang wanita bernama Michelle.

“Ya, Michelle wujud dan saya jatuh cinta padanya. Dialah yang menjadi inspirasi kepada semua lagu dalam EP itu.

“Pilihan judul itu adalah yang paling senang untuk saya,” katanya.

Tidak ketinggalan, pengalaman untuk menghasilkan album itu baginya cukup berbeza dengan dua EP terdahulu.

“Album itu adalah projek yang paling memuaskan hati saya sepanjang bergelar pemuzik. Saya berpeluang bekerjasama dengan tenaga dari Los Angeles. EP itu benar-benar membawa satu perubahan besar dalam hidup saya,” katanya.

Terdahulu, Joel menukar corak penulisan kepada lagu yang lebih ringan berbanding sebelumnya. Dia tidak mahu lagunya terlalu berat untuk dinikmati tetapi masih utamakan kualiti.

Tidak meletakkan batas cara berkarya, dia sentiasa terbuka menerima pelbagai jenis muzik dalam penulisan lagu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2019 @ 5:30 AM