IDAM cipta lagu tema James Bond.
IDAM cipta lagu tema James Bond.
Georgie Joseph


KETIKA penyanyi muda berlumba menjadi bintang pop, Laufey memilih untuk memartabatkan genre jazz dan klasikal sebagai hala tuju muziknya.

Laufey atau nama sebenarnya Laufey LÌn JÛnsdÛttir, 23, akui besar tanggungjawabnya untuk terus lestarikan muzik sebegitu. Apatah lagi dia sendiri membesar dengan keindahan muzik jazz lama.

Penyanyi kacukan China dan Iceland itu mengakui dia wanita moden tetapi berjiwa lama. Bermain muzik klasikal sejak usia empat tahun, membuatkan dia jatuh cinta dan terus memilih genre terbabit dalam kerjaya muzik.

"Sejak kecil lagi, saya sudah bermain piano dan cello. Memang saya dengar muzik sebegitu sejak dulu termasuk jazz.

"Filem-filem yang saya tonton pun memang filem lama. Lagu-lagu dalam filem itu pun kebanyakan lagu jazz yang indah-indah belaka," katanya.

Walaupun berjiwa klasik, tidak bermakna Laufey menolak untuk mendengar muzik pop. Bahkan, sebenarnya dia sendiri banyak mengambil inspirasi daripada penyanyi pop hebat lain.

"Saya sentiasa meminati Taylor Swift. Jenis penulisan lagunya banyak menjadi inspirasi kepada saya juga. Corak penceritaannya sangat cemerlang sewaktu saya mendengarnya ketika baru berusia 12 tahun. Saya boleh rasa apa yang dia benar-benar ingin sampaikan," katanya.

Apapun, Laufey tidak mahu hadkan diri kepada sekadar menghasilkan lagu jazz semata-mata kepada pendengar. Sebaliknya, banyak agenda dan pelan dirancangnya dalam misi martabatkan muzik sebegitu.

"Aspirasi utama saya adalah untuk teguh dengan corak seni karya saya. Saya juga mahu mendidik ramai dengan muzik sebegitu dan kepentingan untuk terus memeliharanya.

"Saya mahu tunjukkan bahawa muzik jazz atau klasikal juga boleh jadi menyeronokkan, digubah, tidak kedengaran basi dan lain-lain. Saya turut menggunakan platform TikTok untuk misi terbabit," katanya.

Menariknya, latar belakang muzik Laufey memang sangat mengagumkan. Secara akademik, pengajian muziknya dilakukan secara profesional sejak kecil lagi.

Mana tidak, ibu bapanya juga memang sangat tidak asing bermain muzik. Justeru, dia mengikut jejak mereka namun menjadikan nyanyian sebagai karier utamanya pula.

Dia tidak menafikan agak bergelut juga pada awalnya untuk menghasilkan corak kreativiti sendiri. Ini kerana dia terbiasa mengikut peraturan dalam bermain muzik seperti yang dipelajari di sekolah.

"Memang susah sebab saya terbiasa untuk ikut kehendak orang dan berpandukan buku. Begitulah cara saya bermain muzik di mana memang sentiasa kena ikut peraturan.

"Disebabkan terikat dengan peraturan, saya buntu apabila diminta buat pembaharuan dalam muzik ketika masuk ke sebuah akademi. Ternyata ia lebih sukar daripada apa yang saya pelajari sebelum itu," katanya.

Laufey kemudian nekad untuk melepaskan diri daripada terus terikat dengan peraturan bermain muzik secara formal. Ternyata, hidupnya jadi lebih mudah selepas dia berbuat demikian.

"Penting sebenarnya untuk belajar melupakan sesuatu. Pembelajaran teknik tertentu saja saya ketepikan dan mengawal sepenuhnya corak penghasilan karya saya.

"Memang canggung juga awalnya apabila kena menulis lagu cara sendiri. Tapi apabila sudah lakukannya, barulah rasa muzik yang dihasilkan lebih tepat dengan jiwa," katanya.

Selain mengembangkan karier nyanyiannya, Laufey menyimpan impian besar untuk menghasilkan lagu tema filem. Dalam fikirannya, dia sudah ada sasaran membikin lagu untuk filem apa.

"Pertama, saya teringin sangat nak bekerjasama dengan Norah Jones suatu hari nanti. Saya pernah membuat persembahan di sebuah festival bersamanya namun tidak berkesempatan bertegur sapa.

"Selain itu, saya mahu hasilkan lagu untuk filem terbitan Pixar. Tapi paling saya idamkan semestinya untuk menghasilkan lagu tema James Bond," katanya.

Laufey terbaru tampil dengan sebuah lagu berjudul Fragile. Lagu terbabit diinspirasikan daripada pengalaman hidupnya berkisar rasa rapuh serta kerinduan terhadap seseorang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Jun 2022 @ 6:00 AM