SHANE hiburkan penonton selama sejam dalam Elmina Lakeside Concert.
SHANE hiburkan penonton selama sejam dalam Elmina Lakeside Concert.
Syafil Syazwan Jefri

SIAPA tidak mengenali figura bernama Shane Filan yang juga anggota kumpulan Westlife.

Kehadirannya di Elmina Lakeside Concert di Elmina Central Park, Sungai Buloh, baru-baru ini menarik lebih 10,000 penonton menonton konsert berkenaan.

Hadir mempersembahkan lapan lagu antaranya Uptown Girl, My Love, Heaven, Beautiful in White, If I Let You Go dan You Raise Me Up tentunya mengimbau zaman kegemilangan Westlife satu ketika dahulu.

Shane yang bukan pertama kali ke Malaysia meluahkan rasa gembira dan teruja apabila dapat tampil di negara ini dan menghiburkan peminatnya.

“Tentunya ini adalah peluang untuk saya mendekati peminat di Malaysia dan menghiburkan anda semua,” katanya.

Penyanyi berusia 39 tahun itu juga nampak teruja apabila ribuan penonton yang berada di konsert berkenaan bersama-sama menyanyikan lagunya.

Westlife yang ditubuhkan pada 1998 dibubarkan pada 2012.

Namun, kerana semangat dan rasa cinta mereka terhadap muzik, Westlife yang turut dianggotai Nickey Byrne, Kian Egan dan Mark Feehily bersatu semula tahun lalu.

Sepanjang tempoh Westlife dibubarkan, Shane pernah muncul dengan tiga single solo iaitu You and Me pada 2013, Right Here (2015) dan Love Always (2017).

SHANE tarikan utama konsert ini.
SHANE tarikan utama konsert ini.

Sorakan gemuruh penonton

Selain Shane yang menghiburkan penonton selama satu jam, penonton turut dihiburkan dengan persembahan artis tempatan antaranya PongPong, Sawyer Leong dan Josh Kua.

Paling menarik, kehadiran pasangan penyanyi dan pelakon, Fazura serta Fattah Amin yang mendapat sorakan gemuruh daripada penonton.

Lebih manis apabila Fattah mempersembahkan lagu yang dihasilkan istimewa buat isterinya berjudul Isterimewa di samping lagu duet, Paling Sempurna.

Satu lagi persembahan kejutan adalah apabila penyanyi rap, Namewee muncul mempersembahkan lima lagu termasuk sebuah lagu medley.

Yang pasti, terukir kegembiraan dan rasa puas pada wajah setiap penonton yang hadir ke acara konsert anjuran Universal Music Malaysia dengan kerjasama Sime Darby Property itu.

Tidak hanya persembahan artis sebagai acara kemuncak, Elmina Lakeside Concert juga menampilkan beberapa aktiviti menarik buat pengunjung antaranya belon udara panas, tayangan wayang 12D dan trak makanan.

BARISAN artis yang membuat persembahan.
BARISAN artis yang membuat persembahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 January 2019 @ 12:01 PM