AZNIL (kiri) tidak kongsi gambar anak di IG elak dikecam netizen. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
AZNIL (kiri) tidak kongsi gambar anak di IG elak dikecam netizen. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Sudirman Mohd Tahir

DALAM pada kebanyakan selebriti selesa berkongsi cerita dan foto keluarga masing-masing di laman sosial, berbeza pendekatan diambil pengacara tersohor Datuk Aznil Nawawi.

Bagi yang mengikuti Aznil di laman Instagram, mungkin ramai tertanya-tanya kenapa Aznil atau mesra disapa Pak Nil tidak pernah menunjukkan wajah anaknya, Fildza Haifa, 28, Fariq Haizen, 24 dan Firdaus Hariz, 10 tahun.

Aznil, 56, berkata dia mempunyai alasan tersendiri kenapa berbuat sedemikian selain menghormati privasi anak yang semakin membesar.

“Saya terbuka dalam perkara ini, malah dari dulu lagi kalau ada rakan media nak mengadakan sesi fotografi kami anak beranak, mereka tidak mahu.

“Apabila ada IG, mereka selesa mengambil pendekatan sama. Mungkin disebabkan mereka sudah tengok saya sering menerima komen negatif peminat, jadi lebih baik mereka pilih jalan sendiri.

“Jadi, saya pun tidak pernah ambil gambar mereka dan berkongsi di IG. Saya tidak mahu mereka dikecam netizen hingga melukakan hati mereka. Kalau nak komen saya, tidak ada masalah,” katanya.

Namun, Aznil berkongsi anak bongsunya, Firdaus Hariz mempunyai kecenderungan untuk mengikut jejak langkahnya dalam bidang seni.

Menurur Aznil, Firdaus seorang yang suka berfesyen selain menyifatkan kanak-kanak itu sebagai seorang yang berani dan gemar memberikan pendapat.

“Apa saya perasan sekarang, dia memang sukakan bidang seni. Namun, dia juga tahu bila dia boleh buat semua ini iaitu ketika cuti sekolah.

“Pada masa sama, dia suka bergaya. Memandangkan suka ke depan, dia sentiasa ingin kelihatan kemas dan berpenampilan menarik.

“Apabila dia dilantik sebagai Presiden Kelab Kanak-Kanak Lola Baba, dia menunjukkan contoh berani bercakap di pentas. Dalam erti kata lain, ciri kepemimpinan ada dalam dirinya terutama menyatakan pendapat,” katanya.

Aznil mengakui, apa yang ditunjukkan Firdaus adalah hasil didikannya supaya boleh menjadi contoh kepada orang sekeliling.

“Saya memang didik dia dari awal. Sedikit sebanyak, apa saya buat dia akan ikut dan contohi. Kalau bawa dia ke acara, dia tahu nak pakai baju apa mengikut kesesuaian majlis. Pendek kata, dia seorang yang teliti.

“Lagi satu, Firdaus bukan jenis yang nak bermain 24 jam. Dia tahu had sepatutnya. Dia meletakkan dirinya sebagai seorang yang bertanggungjawab terhadap orang sekeliling,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Aznil dilantik sebagai duta rasmi Festival Kanak-Kanak Lola Baba manakala anak bongsunya, Firdaus sebagai Presiden Kelab Kanak-Kanak Lola Baba.

Festival itu bakal diadakan pada 26 hingga 28 Oktober depan di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

“Ini julung kalinya saya bersetuju menjadi duta bagi sebuah festival walaupun sebelum ini pernah beberapa kali tawaran diberikan.

“Saya bersetuju kerana serasi dengan kanak-kanak dan golongan ini sentiasa berada dekat di hati saya.

“Lebih istimewa, anak bongsu juga terbabit sama pada acara ini walaupun pada awalnya saya tidak tahu penganjur melantiknya sebagai Presiden Kelab Kanak-Kanak Lola Baba,” katanya.

Menerusi festival itu, Aznil akan terlibat secara langsung menerusi beberapa aktiviti diadakan termasuk memberi bimbingan inspirasi dan pertandingan karaoke iaitu Lalak Land bersama penyanyi sensasi, Ismail Izzani.

Selain itu, terdapat pelbagai aktiviti lain disediakan mengikut empat zon berbeza dengan pelbagai pembelajaran dalam keseronokan.

“Saya mahu lihat kanak-kanak yang hadir nanti bukan saja berseronok dengan aktiviti diadakan tetapi juga dapat membawa pulang ilmu.

“Kanak-kanak sebenarnya mempunyai pelbagai bakat terpendam dan festival ini saya mahu beri mereka inspirasi dalam menjadi berani untuk menyuarakan suara mereka.

“Penganjuran Lalak Land yang saya sendiri kendalikan bukan saja menyeronokkan tetapi dapat menyuntik keyakinan diri mereka,” katanya.

Antara aktiviti lain yang bakal diadakan adalah buih gergasi, belon udara panas, sand art, memanah, pony ride dan bouncing castle.

Turut diadakan termasuk persembahan kebudayaan, pencarian bakat cilik, forum keibubapaan, pertandingan catur, pertunjukan fesyen bayi dan perjumpaan pasangan kembar.

Selain Aznil, beberapa selebriti lain turut terlibat adalah seperti Amir Raja Lawak, Khai, Rosma dan Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor termasuk karakter animasi seperti Omar Hana serta Didi & Friends.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Ogos 2018 @ 3:45 AM