MUHAMAD Sufian (kiri) bersama empat mentor musin terbaru.
MUHAMAD Sufian (kiri) bersama empat mentor musin terbaru.
Najiy Jefri

‘Tagline’ Tunjuk Ajarku Sifu yang diperkenalkan dalam program Mentor pada 2005 berjaya melahirkan ramai bintang berbakat besar seperti Aiman Hakim, Hael Husaini, Anas Ridzuan, Shiha Zikir dan Black.

Siapa sangka selepas kali terakhir menemui penonton pada 2012, Mentor musim ketujuh kembali dianjurkan tahun ini.

Apa yang menarik, Mentor 7 menampilkan empat figura hebat iaitu Datuk Syafinaz Selamat, Aizat Amdan, Hafiz Suip dan Siti Nordiana.

Penerbit Eksekutifnya, Muhamad Sufian Che Isa berkata, pemilihan semua selebriti itu dibuat berdasarkan pengalaman dan kredibiliti mereka dalam arena muzik.

“Setiap mentor mempunyai latar belakang yang cukup luas dalam industri muzik walaupun berbeza era.

“Kami lihat mereka mempunyai kekuatan tersendiri dari segi genre muzik dan imej membuatkan kami yakin kelebihan itu akan mewarnai Mentor 7.

“Sebenarnya sudah lama kami mempelawa Syafinaz dan mentor lain untuk menyertai kami, namun hanya pada musim ini mereka menyatakan persetujuan,” katanya pada sidang media memperkenalkan mentor dan tarikh uji bakat, baru-baru ini.

Sesi uji bakat akan bermula di Hotel Promenade, Kota Kinabalu, Sabah pada 8 dan 19 Ogos ini, disusuli Sri Pentas pada 8 dan 9 September depan membabitkan pencarian protege Syafinaz, diikuti Aizat (15 dan 16 September), Hafiz (22 dan 23 September) dan Siti Nordiana (29 dan 30 September).

Syafinaz yang juga pensyarah dan guru vokal berkata, penyertaannya dalam program realiti itu bukan mengenai dirinya sebaliknya melahirkan bakat baru dalam dunia nyanyian.

Syafinaz mengakui timbul rasa takut apabila umum meletakkan jangkaan tinggi terhadap dirinya. Namun, beliau akan berusaha membimbing mereka dengan disiplin untuk menjadi penyanyi disegani.

“Rancangan itu bukan mengenai diri saya, tapi pembabitan setiap mentor adalah untuk membantu mereka yang ingin berjaya dalam bidang seni suara.

“Dulu saya terpaksa tolak kerana terikat dengan komitmen kerja, tetapi apabila difikirkan, ia memang tidak akan pernah habis.

“Cuma saya takut tiada calon berani datang uji bakat. Sebenarnya, saya tidak garang, tapi mereka perlu ‘digasak’ bagi memastikan mereka berjaya,” katanya.

Menurut Syafinaz, walaupun mempunyai pengalaman luas bidang muzik, namun dia bukan seorang ahli silap mata.

“Saya tahu ramai meletakkan jangkaan tinggi terhadap saya kerana kedudukan sebagai guru vokal dan pensyarah. Bagaimanapun, saya tiada kuasa mencipta bakat hebat.

“Saya dan protege perlu saling membantu dan bekerja kuat. Saya yakin masa yang terhad dalam program itu mampu membawa mereka ke satu tahap yang tinggi sekiranya sedia belajar benda baru untuk semakin bagus,” katanya.

Hafiz yang turut bertindak sebagai mentor 7 mengakui semua mentor mempunyai latar belakang muzik yang hebat, sekali gus bakal memberi saingan sengit buat dirinya dalam program itu.

“Kalau diikutkan pengalaman saya dalam bidang muzik masih baru dan tidak layak untuk membimbing bakat baru, tapi saya akan cuba membantu dan memberikan sepenuh ilmu yang dimiliki untuk memastikan protege yang dipilih berjaya.

“Saya sebenarnya mencari protege yang belum berkahwin supaya tidak memberikan masalah di kemudian hari, tapi jika protege yang datang sudah berkahwin dan berbakat besar saya tiada halangan untuk memilihnya,” katanya.

Siti Nordiana pula berkata, dia mencari seseorang yang mampu membawakan pelbagai genre muzik kerana aliran muzik sentiasa berubah.

“Bonus sekiranya peserta yang datang boleh membawakan pelbagai genre muzik kerana saya lihat aliran muzik sentiasa berubah dan tidak hanya terikat kepada satu genre saja.

“Lagipun saya mahu melahirkan penyanyi yang ‘versatile’ dan dia layak untuk menjadi artis naungan di syarikat pengurusan saya nanti. Bagi saya, sudah tiba masanya saya mencari bakat baru untuk diketengahkan dalam arena muzik tanah air,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Ogos 2018 @ 12:41 PM