Benjamin Chelliah. FOTO SALHANI IBRAHIM
Benjamin Chelliah. FOTO SALHANI IBRAHIM
Michelle Gun


PENGGEMAR muzik di Malaysia menghabiskan purata sebanyak 148 minit sehari untuk mendengar lagu di aplikasi penstriman, Spotify.

Ketua Komunikasi Spotify Asia, Benjamin Chelliah berkata, aplikasi itu menerima sambutan dalam kalangan pendengar tempatan berikutan menawarkan sebanyak 35 juta lagu.

"Pendengar boleh mencipta senarai lagu sendiri atau mereka boleh memilih senarai sedia ada berdasarkan mood atau cita rasa sendiri.

"Waktu kemuncak pendengar Malaysia mendengar lagu bermula dari 11 pagi hingga 1 petang dan 3 petang hingga 5 petang," katanya.

Bagi K-Pop pula, Benjamin berkata, pendengar negara ini menghabiskan lebih 1.4 bilion jam melayari lagu artis Korea Selatan sejak Spotify memperkenalkan genre itu pada 2015.

"Selain K-Pop, EDM dan Jazz antara genre mendapat sambutan baik pendengar tempatan.

Spotify turut menyokong artis tanah air dengan menawarkan senarai tempatan seperti Rock Jiwang serta Malaysia Boleh yang dicipta khas sempena pilihan raya lalu," katanya.

Sepanjang lima tahun di negara ini, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Faizal Tahir dan kumpulan nasyid UNIC artis tanah air paling tinggi layar di Spotify.

Spotify ditubuhkan pada 2008 kini mempunyai lebih 170 juta pengguna di 65 pasaran dengan 75 juta adalah pelanggan Spotify Premium.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Julai 2018 @ 10:00 PM