Spotify memperkenalkan ciri terbaharu. FOTO/SPOTIFY
Spotify memperkenalkan ciri terbaharu. FOTO/SPOTIFY
AFP

NEW YORK: Spotify dilaporkan sudah memperkenalkan butang bisu, bagi memberi pilihan kepada pelanggan untuk membisukan mana-mana artis dalam aplikasi mudah alihnya.

Ia adalah ciri yang amat dinantikan pelanggan Spotify berikutan wujud desakan untuk mengeluarkan muzik beberapa artis, seperti R Kelly, yang terbabit dalam insiden salah laku.

Maklumat mengenai butang itu yang kali pertama didedahkan oleh laman web berita teknologi Thurrott yang melaporkan ciri terbaharu itu memudahkan pengguna platform penstriman muzik terbabit untuk menghalang muzik oleh mana-mana artis dimainkan secara automatik.

Pelanggan Spotify hanya perlu memilih butang ‘jangan pilih artis ini’ daripada menu yang tertera pada halaman artis terbabit.

Namun, ciri itu tidak disediakan bagi versi menggunakan komputer meja serta penyemak imbas dan Spotify masih belum memberi maklum balas mengenai perkara itu ketika dihubungi AFP.

Tahun lalu, syarikat muzik berpangkalan di Sweden itu pernah mengeluarkan lagu beberapa artis dari senarainya, termasuk R Kelly, selepas pergerakan #MuteRKelly dilancarkan apabila artis R&B itu dituduh terbabit dalam salah laku seks.

Spotify terus menerima tekanan untuk mengeluarkan lagu R Kelly sejak beberapa minggu lalu, selepas dokumentari bertajuk ‘Surviving R Kelly’ yang disiarkan awal bulan ini, menimbulkan kembali tuduhan terhadap artis itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 12:01 PM