AJAK (kanan) membuat persembahan bersama Shahrol (kiri) pada minggu akhir program Bintang Bersama Bintang pada 4 Mac lalu. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat
AJAK (kanan) membuat persembahan bersama Shahrol (kiri) pada minggu akhir program Bintang Bersama Bintang pada 4 Mac lalu. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat
Rudy Imran Shamsudin


PELAWAK dan anggota kumpulan Shiro, Shahrol Azizie Azmi terkejut apabila didakwa bertelagah dengan rakan kumpulan juga penyampai radio Hot FM, Mohd Hanaffi Razak atau Ajak, gara-gara lewat tiba bagi menjayakan persembahan program Bintang Bersama Bintang 2018 (BBB 2018).

Program realiti yang diterbitkan dan disiarkan TV3 itu sudah pun berakhir 4 Mac lalu, dengan penyanyi dan pelakon Mark Adam diumumkan juara.

Ketika dihubungi di Kuala Lumpur, hari ini bagi mendapatkan penjelasan, Shahrol yang kini menetap di Johor Bahru, Johor menjelaskan dia tidak faham mengapa perkara itu harus dijadikan isu sekarang sedangkan pertandingan program realiti lawak terbabit sudah pun berakhir dua minggu lalu.

“Memang benar saya lewat tiba di lokasi BBB 2018 di Sri Pentas 2 Shah Alam, sehingga menyebabkan saya tidak dapat mengadakan sesi latihan bersama Ajak lebih awal.

“Begitupun dari sudut pengisian persembahan ia telah dibincangkan lebih awal. Antara kami sudah faham bagaimana corak persembahan bakal dilakukan,” katanya.

Tambah Shahrol lagi, memandangkan dia dan Ajak sering bekerjasama sepanjang menganggotai Shiro, ia telah mewujudkan keserasian antara mereka.

“Latihan singkat dilakukan sebelum program bermula juga tidak boleh dijadikan alasan sebagai punca kepada kekalahan Ajak kerana kami sudah memberikan persembahan terbaik. Cuma rezeki tidak menyebelahi kami pada malam itu.

“Masalah timbul dan menjadi punca menyebabkan saya lewat tiba di lokasi program juga tidak menghalang untuk kami bergabung dan membuat persembahan,” katanya.

Menceritakan punca kelewatannya pada hari pertandingan berlangsung, kata Shahrol pada sebelah pagi pada hari sama dia terbabit dengan satu program membabitkan menteri dan berlangsung di Johor Bahru.

“Perkara itu sudah pun saya beritahu kepada Ajak lebih awal. Bagaimanapun ia tidak mengambil masa lama dan pada waktu tengah hari saya mula bertolak ke Kuala Lumpur sebaik majlis selesai.

“Tidak sangka pula dalam perjalanan, berlaku kesesakan lalu lintas kerana ada kemalangan sehingga membuatkan saya terperangkap lebih tiga jam di lebuh raya,” katanya.

Begitupun jelas Shahrol, sepanjang terperangkap di dalam kesesakan lalu lintas itu, dia senantiasa memaklumkan situasinya kepada Ajak.

“Saya tidak faham apa motif sebenar pihak yang menyebarkan cerita dan mendakwa kami bertelagah disebabkan situasi itu. Sedangkan saya berkali-kali memohon maaf kepada Ajak atas apa yang berlaku.

“Saya sendiri tidak dapat mengelak, apabila berdepan dengan situasi itu (terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di lebuh raya) dan bagaimanapun mujur saya dapat juga tiba sejam lebih awal sebelum program BBB 2018 akhir berlangsung,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Mac 2018 @ 8:04 PM