PERSEMBAHAN Kumpulan Shiro yang dinobatkan juara Maharaja Lawak 2018 di Royal Teater Shah Alam. FOTO Saifullizan Tamadi
PERSEMBAHAN Kumpulan Shiro yang dinobatkan juara Maharaja Lawak 2018 di Royal Teater Shah Alam. FOTO Saifullizan Tamadi
Syafil Syazwan Jefri


ANGGOTA kumpulan lawak Shiro, Ajak dan Shahrol tidak akan berkhidmat lagi sebagai penyampai radio di stesen radio Hot FM dan Suria FM.

Ajak, 33, yang berkhidmat dengan Hot FM sejak tiga tahun lalu akan tamat kontrak dengan stesen radio berkenaan bulan depan, manakala Shahrol, 35, sudah tamat kontrak dengan Suria FM sejak 11 Januari lalu.

Mereka yang baru diumumkan sebagai juara program Maharaja Lawak Mega (MLM) 2018 malam tadi mahu memberi tumpuan kepada bidang perniagaan selain lakonan dan komedi.

Ajak berkata, dia memilih untuk tidak menyambung kontrak kerana ingin menumpukan sepenuh perhatian kepada bidang komedi dan lakonan.

“Sepanjang tiga tahun berkhidmat dengan Hot FM, saya memberikan komitmen penuh kepada kerjaya sebagai penyampai radio dan tidak ada sebarang karya dalam bidang lakonan,” katanya.

Ajak turut berterima kasih kepada pihak pengurusan Hot FM kerana memahami permintaannya.

“Terima kasih kepada pihak pengurusan Hot FM terutamanya Seelan Paul kerana faham dengan kehendak serta hala tuju karier saya,” katanya.

Ajak juga tidak menafikan ada menerima tawaran daripada stesen radio lain, namun tidak mahu berfikir ke arah itu buat masa sekarang.

“Ada beberapa stesen radio lain yang menawarkan saya untuk bekerja dengan mereka, namun itu bukanlah matlamat saya dan bukan punca kenapa saya menamatkan kontrak di Hot FM,” katanya.

Tidak hanya sibuk sebagai penyampai radio segmen pagi setiap hari Isnin hingga Jumaat, Ajak juga bertugas sebagai pengacara program Melodi di TV3.

Shahrol pula tidak menyambung kontrak dengan Suria FM kerana mahu fokus dengan syarikat produksi miliknya, Bushido Production yang beroperasi di Johor.

Dia juga menganggap langkahnya untuk keluar dari stesen radio itu ada hikmah tersendiri.

“Setiap perjalanan ada hikmah di sebalik kejadian. Saya reda dan terima dengan hati terbuka. Siapa sangka, selepas keputusan untuk tidak menyambung kontrak itu dibuat, kami (Shiro) bergelar juara program MLM2018,” katanya.

Ditanya mengenai lakonan, Shahrol terbuka untuk menerima sebarang tawaran yang bersesuaian.

“Sekiranya ada tawaran lakonan yang bersesuaian, saya akan terima. Selain itu, saya juga akan menerbitkan drama sendiri melalui syarikat produksi saya.

“Buat masa sekarang, kami banyak menerbitkan program-program untuk jabatan kerajaan dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kemenangan Shiro dalam MLM2018, Ajak berkata, itu adalah doanya yang dimakbulkan Allah.

“Tahun lalu, saya menunaikan umrah dan di sana saya berdoa supaya dimurahkan rezeki. Alhamdulillah, selain dapat bekerja di Hot FM dan Melodi, ini adalah satu rezeki yang sangat besar buat Shiro dan seluruh keluarga kami.

“Selepas tujuh kami kami bertanding dalam MLM, akhirnya rezeki buat kami apabila menjadi juara di edisi kali ini,” katanya.

Kemenangan itu melayakkan Shiro membawa pulang hadiah wang tunai RM500,000 berserta trofi.

Selain Shiro, final MLM2018 turut dibarisi kumpulan pelawak lain iaitu Bocey, Zero, Puteh dan Taman.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 January 2019 @ 12:01 PM