SHAHROL dakwa tidak sambung kontrak penyampai radio kerana mahu fokus syarikat produksi miliknya. FOTO Nurul Shafina Jemenon
SHAHROL dakwa tidak sambung kontrak penyampai radio kerana mahu fokus syarikat produksi miliknya. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Ridzuan Abdul Rahman


PIHAK Pengurusan Suria FM menafikan kenyataan dikeluarkan oleh bekas penyampainya, Shahrol Shiro yang mahu fokus dengan syarikat produksi miliknya, Bushido Production yang beroperasi di Johor sebagai alasan tidak menyambung kontrak.

Sebaliknya mereka terlebih dahulu menamatkan kontrak Shahrol lebih awal iaitu pada 11 Januari 2019, biarpun kontrak sebenar anggota Shiro itu adalah selama setahun bermula 1 Ogos 2018.

“Pihak kami sengaja tidak mengumumkan lebih awal atas faktor menghormati konsentrasi dan komitmen beliau di dalam program realiti TV yang disertainya baru-baru ini.

“Tindakan ini dibuat atas faktor disiplin dan prestasi kerja beliau yang kurang memuaskan.

“Malah dia juga ingkar perintah dan melanggar peraturan dan garis panduan kerja yang ditetapkan seperti tidak hadir bertugas tanpa pemberitahuan, lewat memulakan tugas sebagai penyampai segmen pagi, kerap mengambil cuti sakit tanpa sijil MC dan tidak menghadirkan diri ke acara yang dianjurkan Suria,” kata mereka menerusi satu kenyataan media.

Shahrol dan Ajak yang menganggotai kumpulan Shiro muncul juara Maharaja Lawak Mega 2018 (MLM 2018) dan memenangi wang tunai RM500,000 pada Jumaat lalu.

Ajak yang berkhidmat dengan Hot FM sejak tiga tahun lalu memberitahu kontraknya akan tamat pada bulan depan, manakala Shahrol pula mengeluarkan kenyataan sudah tamat kontrak dengan Suria FM sejak 11 Januari lalu.

Sebelum ini Shahrol pernah bertugas selama tiga bulan di Suria FM pada 2017 dan selepas tamat kontrak, dia membuat keputusan berhijrah ke Johor dan menyertai radio Best FM.

“Shahrol menyatakan keinginan untuk kembali bertugas di Suria FM memandangkan beliau akan kembali menetap di Kuala Lumpur.

“Kami menawarkannya sebagai penyampai di slot pagi bersama dua lagi penyampai lelaki bagi membantu mengembangkan lagi jenama Suria FM.

“Kami tidak mempunyai sebarang masalah dengan Shahrol dan mengucapkan terima kasih atas khidmatnya selama ini,” kata mereka.

Pihak Pengurusan Suria FM berjanji akan menghebahkan pengganti Shahrol selepas ini bagi digandingkan dengan Issey dan Fizi Ali dalam slot Team Pagi Suria.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 4:18 PM