SPRING bersama tiga daripada lima anggotanya iaitu (dari kiri) Acong, Ameng dan Mp.
SPRING bersama tiga daripada lima anggotanya iaitu (dari kiri) Acong, Ameng dan Mp.
Ridzuan Abdul Rahman

Nama kumpulan Spring bukan calang-calang kerana pernah melalui zaman kegemilangan menerusi lagu popular seperti Sampai Hati, Butakah Cinta, Sejiwa dan Bourgenvilla.

Populariti Spring terbukti apabila mereka diangkat sebagai Kumpulan Muzik Paling Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 1994.

Seperti kumpulan rock lain, cabaran turut dilalui Ameng (penyanyi), Iskandar (gitar utama), Zahar (gitar kedua), Mp (bass) dan Acong (dram) yang melalui zaman suram sehingga masing-masing membawa haluan sendiri membuatkan Ameng tampil menyanyi solo.

Kali terakhir mereka bersama ialah dalam konsert istimewa Spring yang diadakan 15 tahun lalu.

Bagaimanapun, kerinduan peminat untuk menyaksikan penyatuan Spring bakal jadi kenyataan apabila mereka akan tampil menjayakan Live Showcase Kumpulan Spring di Restoran D’Saji KL Titiwangsa pada 9 Mac ini jam 9 malam.

Ameng berkata, tindakan ini dibuat atas permintaan peminat yang sering bertanyakan per­kembangan terbaru Spring.

“Ke mana-mana saya pergi, peminat akan bertanya Spring hidup lagi atau tidak? Anggota kumpulan ini belum meninggal dunia dan masih aktif bermain muzik serta ada studio sendiri.

“Cuma Spring tiada arah tuju sebab saya ditakdirkan masuk penjara bertahun-tahun. Sejak keluar penjara pada 2016, ada antara anggota Spring yang saya belum jumpa sehinggalah kami bertemu ketika ini,” katanya pada sidang media yang berlangsung di Restoran D’Saji KL Titiwangsa, baru-baru ini.

Menurut Ameng, dia akan menyanyikan 12 lagu popular Spring bagi mengubat rindu peminat mereka.

“Saya pilih menyanyikan lagu berentak perlahan memandangkan Spring popular dengan konsep balada. Asalnya kami lebih cenderung dengan muzik heavy metal. Ketika konsert pasti akan diselang-selikan dengan lagu Metallica, Iron Maiden dan banyak lagi.

“Tapi untuk malam itu, kami akan memberikan satu kepuasan sebenar kepada peminat Spring dengan menampilkan semua lagu popular kami. Persembahan ini sangat mencabar kerana bukan satu jalan yang senang untuk merealisasikan impian orang termasuk impian kami sendiri,” katanya.

Ameng berjanji memberikan persembahan terbaik mereka dan memastikan peminat akan pulang dengan kepuasan.

“Selama 28 tahun menyanyi lagu Spring, saya tak pernah berdepan masalah suara tak sampai dan lupa lirik.

“Bukan itu saja, selain disajikan dengan lagu Spring, peminat yang hadir akan diberikan cenderamata eksklusif supaya mereka tidak pulang dengan tangan kosong. Kami juga akan tampil dengan gimik kemunculan seorang pemuzik legenda dan seorang pendatang baru sebagai artis undangan,” katanya yang menganggap persembahan itu ibarat ‘pemanas enjin’ dan ada peluang diberikan lagi selepas ini.

Sementara itu, Zahar berkata, dia masih aktif dan akan mengikut saja perancangan yang dibuat oleh Ameng untuk Spring.

“Persembahan kami bergantung pada permintaan peminat. Sekiranya ada tawaran lagi kami pasti akan bersama,” katanya.

Konsert ini dianjurkan oleh Best FB KL Concerts dengan kerjasama Felda D’Saji. Harga tiket dijual antara RM100 hingga RM300 dan boleh dibeli di kaunter pertanyaan D’Saji KL Titiwangsa atau menerusi www.myticket.asia.com.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2018 @ 4:57 AM