AMELINA. FOTO Halim Salleh
AMELINA. FOTO Halim Salleh
Ridzuan Abdul Rahman


“Kehidupan saya hanya untuk anak. Saya kembali menyanyi kerana mahu cari rezeki untuk mereka,” kata penyanyi bergelar ratu dangdut, Amelina atau nama sebenarnya Norazlina Amir Sharipuddin, 43.

Ibu tunggal kepada enam cahaya mata ini mengakui lebih fokus kepada keluarga dan karier berbanding perkara lain.

“Sebelum kembali aktif menyanyi, kehidupan saya memang agak susah. Bagaimanapun, kerana niat untuk mencari rezeki bagi menyara anak, saya nekad menyanyi semula.

“Saya bertungkus-lumus memenuhi undangan nyanyian di sana sini dan alhamdulillah, kehidupan kini semakin stabil,” katanya.

Sebagai ibu, Amelina menggalas tanggungjawab membesarkan anak iaitu Puteri Nur’athirah, 16, Putera Al’affiq, 15, Putera Al’asyraff, 14, Puteri Nur’aisyurrah, 12, Putera Al’arffa, 10 dan Putera Al’amzarr, 8.

“Anak pun semuanya baik belaka. Puteri Nur’aisyurrah baru selesai menjalani peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Kini rezeki sentiasa ada. Saya banyak menerima tawaran menjayakan persembahan korporat dan majlis tertutup,” katanya.

Dalam pada itu, Amelina akan terbabit menjayakan persembahan Live Showcase Amelina Ratu Dangdut Malaysia di restoran D’Saji Titiwangsa, Kuala Lumpur pada malam ini, jam 8 malam.

Dalam debar, penyanyi yang popular dengan lagu Rindu ini mengakui teruja untuk menghiburkan peminat setianya.

“Kalau sebelum ini hanya beraksi pada acara makan malam dan majlis korporat, sekarang saya maju setapak lagi dengan memberanikan diri buat showcase.

“Biasanya saya hanya menyanyikan dua atau tiga lagu tetapi kali ini 14 lagu. Ia menuntut stamina tinggi dan keyakinan diri,” katanya.

Ketika zaman kegemilangannya dulu, Amelina tidak berkesempatan mengadakan konsert dan persembahan mini kerana nekad berundur selama 15 tahun.

“Meskipun sudah biasa menyanyi, perasaan gemuruh tetap ada apatah lagi ini membabitkan persembahan besar,” katanya.

Showcase Live Ratu Dangdut Malaysia akan berlangsung selama dua jam dan tiket berharga bermula dari RM100 hingga Rm250 boleh didapati menerusi laman web MyTicket.Asia atau di kaunter pertanyaan D’Saji Titiwangsa KL.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2017 @ 4:29 AM