EZANY mahu suntik kesedaran kepada masyarakat agar lebih peka terhadap kebersihan tandas masjid. FOTO Facebook
EZANY mahu suntik kesedaran kepada masyarakat agar lebih peka terhadap kebersihan tandas masjid. FOTO Facebook
Ridzuan Abdul Rahman


“Ya, memang geli nak cuci tandas. Namun, saya fikir itu rumah Allah dan kita hanyalah hamba di muka bumi ini. Lagipun, kalau fikir semula dosa kita lagi teruk daripada kotoran tandas. Apa salahnya kita cuci,” kata pelakon Ezany Nizariff apabila diminta mengulas kerja amal yang dilakukannya.

Berbanding selebriti lain yang cenderung melakukan kerja amal yang jauh lebih selesa, Ezany atau Mohd Zani @ Mohd Zohri Mohd Nizariff, 46, sebaliknya apabila memilih mencuci tanda masjid.

“Saya memang selalu buat aktiviti ini di masjid Bukit Serdang, Selangor. Tahun lalu, saya ajak budak-budak motosikal cuci tandas Masjid Terapung Kuala Perlis.

“Ketika itu kami dapat liputan Selamat Pagi Malaysia kerana ia jarang dilakukan selebriti mahupun orang awam.

“Biasanya saya akan ajak kawan-kawan untuk turut serta. Kalau tiada yang berminat, saya tak kisah buat seorang diri,” katanya.

Ezany berkongsi aktiviti yang dilakukannya di Facebook dan usaha murninya itu mendapat pujian peminat.

Menurut Ezany, kerja amal itu biasanya dilakukan pada hari Jumaat hingga Ahad kerana ada masa terluang.

“Saya akan pilih hari yang betul-betul lapang kerana nak meluangkan banyak masa cuci tandas.

“Biasanya orang geli cuci tandas. Kalau setakat cuci longkang, ramai sanggup tolong. Saya malas nak ambil kisah dan selesa buat seorang diri.

“Bagi saya, cuci tandas masjid adalah sebahagian daripada tanggungjawab kita. Kalau orang tak mahu buat, biarlah saya yang buat,” katanya.

Kongsi Ezany lagi, apa yang dilakukan itu bertujuan membuka mata masyarakat agar mencontohi usaha yang dilakukannya.

“Kalau saya boleh buat, takkanlah mereka tak boleh. Jika nak cari pahala, ada banyak cara yang boleh dilakukan.

“Sebenarnya saya sendiri pun tak tahu sama ada apa yang dibuat ini Allah terima atau sebaliknya. Apa yang penting saya buat,” katanya.

Menurut Ezany, masyarakat seharusnya lebih peka dengan kebersihan tandas masjid.

“Kalau pun tak semua, sekurang-kurangnya ada seorang atau dua yang peka dan menjaga soal kebersihan tanda. Tidaklah ia kotor sampaikan tak sanggup nak guna bila ada kecemasan.

“Saya sebenarnya tak kisah jika ada kariah masjid mahu ajar cuci tanda walaupun lokasinya jauh.

“Syaratnya, mereka kena ambil saya dan sediakan peralatan mencuci yang lengkap. Dalam masa sama, mereka kenalah sama-sama ambil bahagian dalam kerja ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 7:39 PM