JANNA Nick dan Izzue Islam dipilih menjadi duta buat pertama kali untuk DFKL 2019. -FOTO: Halimaton Saadiah Sulaiman
JANNA Nick dan Izzue Islam dipilih menjadi duta buat pertama kali untuk DFKL 2019. -FOTO: Halimaton Saadiah Sulaiman
Ramlah Zainal

BERTEMAKAN Positif Selalu, Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2019 yang memasuki tahun keenam penganjurannya menampilkan gandingan dua artis popular tanah air, Janna Nick dan Izzue Islam sebagai duta buat pertama kali.

Selaku duta, kedua-duanya memainkan peranan penting untuk menyebarkan mesej positif dan menggalakkan masyarakat menggunakan platform media sosial dengan betul.

“Saya sendiri lebih berhati-hati untuk memuat naik status kerana mahu mendidik masyarakat supaya lebih berhemah di media sosial. Sebagai selebriti, saya juga menggunakan Instagram untuk berkongsi perkembangan terkini karier seni dengan peminat. Selain itu, saya juga menggunakan media sosial untuk mempromosikan perniagaan,” kata Janna.

Bercerita mengenai program uji bakat anjuran DFKL, Janna berkata, ia platform yang sangat bagus untuk menggilap bakat baru dalam bidang seni tanah air.

“Bakat baru sekarang lebih mudah untuk menghadiri proses uji bakat lakonan berbanding ketika awal pembabitan saya dulu. Dulu masih ada yang kena tipu dan sebagainya ketika menghadiri uji bakat.

“Saya mula menghadiri uji bakat pada usia 16 tahun anjuran satu syarikat produksi. Pada pandangan saya, kehadiran ramai bakat baru sesuatu yang positif tetapi bukan sekadar bergantung pada paras rupa. Apa yang penting untuk mempertaruhkan bakat dan kualiti,” katanya.

Mengenai drama lakonannya yang dicalonkan pada DFKL 2019 pula, kata Janna, dia hanya menyerahkan pada undian dan penilaian peminat.

“Drama lakonan saya yang dicalonkan kali ini ialah Semerah Cinta Umairah. Saya bersyukur kerana diberi peluang dicalonkan kali ketiga. Pencalonan tahun lalu lebih sengit tetapi kemenangan berpihak kepada saya. Kali ini, kalah atau menang, saya juga serahkan 100 peratus undian pada peminat,” katanya.

Dalam pada itu, Janna juga bersyukur kerana drama lakonannya, Leftenan Zana mendapat sambutan penonton.

“Alhamdulillah, drama bersiri ketenteraan sebanyak 16 episod itu mendapat rating tertinggi dan mencecah 10 juta penonton sejak ditayangkan di Slot Lestary, TV3.

“Saya puas kerana segala kerja keras untuk menjiwai watak Leftenan Zana yang lasak dan mencabar itu berjaya menimbulkan kesan mendalam kepada penonton. Semoga kejayaan ini menyuntik semangat kepada penerbit dan pelakon lain untuk berlakon dalam cerita bercorak ketenteraan dan patriotik ini.

“Saya juga mempromosikan drama ini di Instagram setiap hari dan berharap rating drama ini akan terus meningkat sehingga siarannya berakhir nanti,” katanya.

Selain lakonan, Janna juga sibuk memenuhi komitmen sebagai pengacara Melodi di TV3 sejak setahun lalu.

“Saya sudah semakin seronok mengendalikan Melodi bersama gandingan hos sedia ada . Namun, saya masih baru dalam bidang pengacaraan dan masih banyak ilmu perlu ditimba untuk memperbaiki prestasi sedia ada.

“Saya juga selesa mengacara kerana tempoh penggambarannya lebih singkat berbanding bidang lakonan yang mengambil masa lebih panjang,” katanya.

AZIZAH berhasrat membesarkan lagi rumah amalnya ini dan menempatkan keseluruhan kanak-kanak OKU terbiar.
AZIZAH berhasrat membesarkan lagi rumah amalnya ini dan menempatkan keseluruhan kanak-kanak OKU terbiar.

Sekat komen negatif

Sebagai duta DFKL 2019, Izzue berharap dapat melaksanakan tanggungjawabnya untuk mendidik orang ramai supaya tidak menyalahgunakan platform media sosial dan hanya menyebarkan mesej positif kepada masyarakat.

“Saya juga baru dilantik sebagai duta tahun ini dan tetap memenuhi komitmen untuk turun padang menjayakan kempen, proses uji bakat dan sebagainya.

“Netizen juga diharap tidak menyalahgunakan platform media sosial seperti membuka akaun palsu dan mengeluarkan komen yang mencetuskan perbalahan di media sosial. Sepatutnya, orang ramai menggunakan platform media sosial untuk berjaya dalam perniagaan dan sebagainya,” katanya.

Ditanya bagaimana dia berdepan dengan kecaman di media sosial, kata Izzue, dia akan menyekat komen yang negatif dan berbaur provokasi yang boleh menjejaskan nama baiknya dalam bidang seni.

“Contohnya, ada netizen yang komen saya tidak ada bakat dalam bidang nyanyian. Saya akan sekat komen itu dan hanya terima komen yang membina seperti cadangan untuk masuk kelas vokal dan sebagainya.

“Antara kecaman yang paling teruk yang pernah diterima sebelum ini ialah isu isteri, Awin yang didakwa menggunakan bomoh hingga memburukkan nama keluarga sebelum ini,” katanya.

Seperti Janna, Izzue juga melihat penganjuran uji bakat DFKL dapat menggilap lebih ramai bakat pelapis untuk mewarnai bidang seni tanah air.

“Maklumlah, saya juga bermula sebagai pelakon tambahan dan pernah menghadiri uji bakat lakonan pada 2008. Saya juga tampil selekeh pada pembabitan awal dulu.

“Selepas dua tahun berlakon watak tambahan, baru saya dapat peluang watak pembantu sekali gus menempa nama dalam bidang lakonan hari ini,” katanya.

“Saya percaya, aspek paras rupa dan penampilan masih boleh dibentuk begitu juga bakat dalam bidang lakonan. Saya juga menganggap diri masih belajar walaupun sudah 10 tahun dalam bidang lakonan,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 6:00 AM