ARIP (tengah) berjaya menyesuaikan diri dengan kumpulan Melissa.
ARIP (tengah) berjaya menyesuaikan diri dengan kumpulan Melissa.
Ridzuan Abdul Rahman

Melodi lagu ‘menangkap hati’ dan kekal malar segar serta imej yang kuat menjadi antara faktor penganjur sekarang berebut-rebut menganjurkan konsert rock bertujuan mengangkat kembali kegemilangan era muzik rock pada 1980-an serta 1990-an itu.

Malam minggu lalu menyaksikan dua konsert rock berlangsung iaitu Hiburan Santai Seniman di Panggung Anniversari yang menampilkan Utopia, Desire, Nizam Laksamana dan ramai lagi yang diadakan secara percuma.

Manakala di House @ G Tower, Jalan Tun Razak, Kuala lumpur pula berlangsung acara Rock Revival 2017 menampilkan tiga kumpulan iaitu Melissa, Crash dan CRK.

Dengan mengenakan bayaran masuk RM50, Rock Revival 2017 dianggap berjaya menarik perhatian penggemar rock tegar yang memberikan sokongan terhadap genre ini.

PERSEMBAHAN daripada CRK.
PERSEMBAHAN daripada CRK.

Melissa yang tampil sebagai pembuka pentas, awal-awal lagi sudah ‘menggigit’ peminat dengan lagu Lambaian Sayonara yang popular suatu masa dahulu.

Lagu berentak perlahan ini sememangnya menjadi trademark kumpulan yang diketuai oleh Keff. Keseronokan peminat semakin bertambah apabila lagu Kesan Cinta dipilih sebagai lagu kedua Melissa.

Turut bersama Keff ialah Arip (penyanyi), Bobo (bass), John Pyrock (keyboard) dan Shameel (drum).

Arip bekas juara Kilauan Emas 4 dipilih menggantikan Radzi yang sudah berhijrah, berjaya menunjukkan keserasiannya dengan Melissa. Suaranya ternyata mantap mengalunkan lagu Melissa.

VOKAL Amar masih mantap menyampaikan lagu bernada tinggi.
VOKAL Amar masih mantap menyampaikan lagu bernada tinggi.

Sementara itu, Bobo pula baru berusia 11 tahun dan menganggotai M.U.D.A Band berjaya menunjukkan skil permainan bass yang menarik.

Lagu lain yang dinyanyikan kumpulan ini ialah Cinta Untuk Nabila, Keinsafan serta ‘cover version’ lagu Inggeris dan ini sudah cukup menghiburkan peminat yang sudah lama menantikan kelibat Melissa selepas 27 tahun menyepi.

Kumpulan Crash pula tampil sebagai kumpulan kedua dengan anggota asal Amar sebagai penyanyi, Dinz (gitar utama), Ujang (bass) dan Zack (drum).

Kepada yang belum mengenali Crash, mereka mula bergiat aktif pada awal 2000 dan pernah popular dengan lagu Mahsuri dan Misteri Madura.

KEFF Melissa
KEFF Melissa

Crash tampil dengan lagu mereka termasuk Rantai Serigala, Sentuhan Syahirah, Mahsuri danAbadikan Salam.

Biarpun agak lama tidak beraksi, Amar membuktikan vokalnya masih mantap terutama apabila menyampaikan lagu bernada tinggi.

CRK pula dikenali bukan saja kerana lagu popularnya Cinta Dan Airmata, tetapi juga kerana kisah peribadi anggotanya Eddie yang menjadi tumpuan ramai.

Malam itu, CRK tampil bergaya kerana selain Eddie (bass) dan Kamal (penyanyi), mereka turut menampilkan Syam yang pernah bersama Wings sebagai pemain gitar dan Black Wings sebagai pemain dram undangan.

EDDIE CRK
EDDIE CRK

Anggotanya masih aktif bermain di kelab dan ia menjadi faktor utama CRK menunjukkan persembahan yang menghiburkan.

Kumpulan ini juga baru menghiburkan peminat mereka di Panggung Anniversari bersama Bumiputra Rockers dan Akar beberapa bulan lalu.

Peminat yang hadir disajikan dengan 10 lagu mereka termasuk Cinta Dan Airmata serta Kita Yang Bernama Manusia.

Penganjur, Mike Cubinar berkata, pihaknya kali pertama menganjurkan acara ini dan berpuas hati dengan sambutan yang diterima daripada peminat.

“Tiga kumpulan yang digandingkan ini adalah langkah permulaan. Ia akan menjadi perintis penganjuran seumpamanya di seluruh negara nanti.

“Kalau boleh, saya mahukan anggota asal yang tampil dalam persembahan, tapi melihatkan beberapa faktor, saya akur kadangkala mereka kena ambil pemuzik undangan,” katanya.

SYAM CRK
SYAM CRK

Menurutnya, perancangan ini dibuat sejak tiga bulan lalu dan setiap kumpulan diberi masa selama sejam untuk beraksi di atas pentas.

“Acara ini diadakan dengan kerjasama Karyawan dan kami jenamakannya sebagai Rock Revival. Ia takkan terhenti di sini dan akan diadakan setiap dua bulan.

“Kumpulan rock yang masih aktif boleh datang berjumpa saya berbincang untuk buat persembahan di sini. Saya akan buka peluang kepada semua,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2017 @ 12:37 AM