AQASHA Amani mengalami kemalangan ketika menunggang motosikal dalam perjalanan ke rumah neneknya untuk mengambil makanan.
AQASHA Amani mengalami kemalangan ketika menunggang motosikal dalam perjalanan ke rumah neneknya untuk mengambil makanan.
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: "Masa dapat berita ini berderau darah saya. Apabila tengok mukanya berdarah, saya tergamam dan terdiam sekejap," kata penyanyi kumpulan rock CRK, Mohamad Kamal Mohd Rashidy atau Kamal CRK mengenai kemalangan membabitkan anaknya, Aqasha Amani, 17, di Jelutong, Pulau Pinang, semalam.

Kamal yang popular dengan lagu Cinta Dan Airmata ketika dihubungi berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 1 petang ketika Aqasha yang menunggang motosikal dalam perjalanan ke rumah neneknya untuk mengambil makanan.

"Aqasha dalam perjalanan nak ambil makan tengah hari di rumah ibu saya yang tinggal berasingan. Apabila tiba di Perak Road, sebuah kereta tiba-tiba keluar dari simpang dan melanggarnya. Banyak kereta diletak di kiri dan kanan jalan, jadi pemandu tak nampak anak saya. Mungkin nasib dia nak kena," katanya yang kembali menetap di Pulau Pinang sejak Ramadan lalu.

KAMAL CRK
KAMAL CRK

Kamal bersyukur kerana ketika kejadian, anak saudaranya turut melalui jalan terbabit dan terlihat anaknya terbaring akibat kemalangan.

"Kalau tidak mungkin susah juga mana-mana pihak untuk sampaikan perkara ini kepada saya. Syukurlah Aqasha hanya luka-luka dan tiada mengalami kecederaan dalaman.

"Kadang-kadang dia naik basikal atau motosikal ke rumah neneknya. Tapi motosikal yang dinaiki pun motosikal lama dan memang tak boleh laju.

"Dia dimaukkan ke wad satu malam dan dibenarkan keluar pagi tadi," katanya yang tinggal berdua dengan anak tunggalnya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 6:23 PM