JOE dan Hillary hasilkan satu kombinasi muzik yang unik.
JOE dan Hillary hasilkan satu kombinasi muzik yang unik.
PERSEMBAHAN bertenaga Prime Domestic.
PERSEMBAHAN bertenaga Prime Domestic.
Ridzuan Abdul Rahman


Ini konsert sulung dan terbesar buat Joe, Aweera, Hillary Ang, Fauzi dan Ainoll yang bergabung di bawah jenama Prime Domestic.

Justeru, konsert Public Distortion 2017 di Qasis Square, Damansara pada Sabtu lalu menjadi persembahan yang amat dinanti peminat.

Ia menjadi medan untuk menilai sama ada sentuhan dan populariti Joe masih berbisa selepas jodohnya bersama Wings tidak panjang.

Juga konsert ini turut menjadi medan untuk menilai keserasian Joe, Aweera dan anggota lain sebagai cabaran terhadap kumpulan popular sedia ada.

Bagi menambah kemeriahan, konsert anjuran J Rochestra serta Life Scape ini turut mengundang kumpulan heavy metal terkenal XPDC untuk menghiburkan penonton.

Tepat jam 9 malam, Prime Domestic dan XPDC yang dianggotai Ali, Izo, Eddie, Lola dan Arif membuka tirai persembahan dengan lagu Ku Cuba.

Kemudian, Prime Domestic memberi ruang kepada XPDC menghiburkan 3,000 peminat yang setia menanti di depan pentas sejak jam 8 malam.

XPDC menggegarkan jiwa penonton dengan lagu Ntahapapantah, Talam Dua Muka, Sakinah, Kita Pengyu, Doa dan Enter Sandman.

Ali selaku vokalis band itu bijak berkomunikasi dengan peminat malah sempat berpesan supaya sentiasa mengingati Allah dan Rasul.

Lagu lain yang ditampilkan adalah Orion, Selendang Merdeka, Kata Pepatah, Semangat Perjuangan Harmoni dan Semangat Yang Hilang.

Prime Domestic mengambil alih pentas pada jam 10 malam. Kejutan dilakukan apabila mereka membuka persembahan dengan lagu Hallowed Be Thy Name nyanyian asal kumpulan Iron Maiden yang bukan mudah untuk dimainkan.

Kehangatan persembahan diteruskan lagi dengan lagu Kau Masih Berdegil, Malam Berasap, Fenomena dan Nasib Kita.

Selepas itu barulah Aweera menyapa peminat yang hadir memberikan sokongan terhadap Prime Domestic.

Tanpa mengambil masa yang panjang, dia kemudian meneruskan persembahan dengan lagu Tekno Dewata, Kurnia, Meniti Titian Usang, Lena Diulit Intan, Mentari Merah Di Ufuk Timur, Rozana dan Ranjang Mawar.

Kemampuan vokal Aweera sememangnya teruji apabila mengalunkan rangkaian lagu berbeza konsep dan bentuk.

Pujian wajar dikalungkan kepada anak muda itu kerana mampu menggalas tanggungjawab yang diberikan dengan baik.

Tidak ketinggalan gabungan dua ‘hero gitar’ iaitu Joe dan Hillary menghasilkan satu kombinasi muzik yang unik serta bertenaga sehingga ramai penonton kagum.

Kemunculan Amy Search sebagai penyanyi undangan menerusi lagu Isabella, Langit Dan Bumi dan Kau Pergi turut menambahkan kehangatan konsert.

Aweera kembali mengambil alih pentas menerusi lagu Ilusi Antonasi, Ameringo, Sedingin Pluto, Alam Barzakh dan Sejati.

Persembahan diakhiri dengan gabungan Amy, Ali dan Aweera menerusi lagu Pasti.

Apa yang pasti, peminat terhibur dengan persembahan yang ditampilkan dan pulang dengan perasaan puas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2017 @ 4:02 AM