Najiy Jefri

Perjalanan kerjaya seni jejaka kelahiran Singapura ini cukup indah dan bermakna.

Hampir sedekad bergelar penyanyi, Imran Ajmain berjaya membuktikan kehadirannya masih relevan dan mempunyai kelompok peminat tersendiri.

Ternyata magisnya masih berbisa dan kelunakan suara tidak perlu disangkal walaupun usia sudah menjangkau 37 tahun.

Baru-baru ini, lebih 300 penonton menghadiri konsert mini penyanyi yang popular dengan lagu Seribu Tahun ini di Studio Recital, Esplanade, Singapura.

Dalam persembahan yang dinamakan konsert mini Balada Melayu, Sepuluh Tahun Pertama itu, Imran tampil segak menggayakan sut putih.

Imran menghadiahkan seleksi 14 lagu menerusi persembahan mini terbabit yang berlangsung selama dua jam dengan diiringi 15 pemuzik profesional dari Singapura.

Antara lagu yang didendangkan ialah Seribu Tahun, Selamat Ulang Tahun Sayang, Ghaibmu, Dikalung Kasihan, Sudah tu Sudah, Sentiasa Merinding serta single terbarunya, Intan & Perak.

Lebih mengujakan, sebuah slot khas dipersembahkannya bagi menghargai dan memberi apresiasi tertinggi buat arwah bapanya yang juga penerbit, penyusun muzik dan penggubah lagu terkenal era 1980-an, Ahmad Husaini Ajmain.

Populariti arwah bapa Imran mengharum indah selepas bekerjasama dengan nama besar seperti Othman Hamzah, Sweet Charity, Salwa Abdul Rahman, Salimah Mahmood dan Azean Irdawaty.

Menerusi slot khas itu, Imran dilihat begitu sebak menceritakan kehidupan peribadinya yang mewarisi bakat hebat arwah bapanya itu.

Malah sepanjang sessi ‘tribute’ buat arwah bapanya, kelihatan ibu dan kakaknya mengalirkan air mata tatkala Imran menyanyikan lagu Apa Salah Beta serta Musliha.

Apa yang pasti, konsert Sepuluh Tahun Pertama Imran Ajmain itu berlangsung dengan suasana yang cukup serba-serbi apabila setiap lagu diterjemahkan dengan penuh rasa ikhlas dan jujur tatkala melontarkan setiap bait lirik yang terkandung dalam seleksi lagunya.

Menurut Imran yang juga Pengarah Kreatif SukaSucre Group of Companies, dia puas dan lega apabila impiannya untuk mengadakan konsert mini ini berjalan dengan baik serta lancar.

“Penantian yang cukup indah. Saya rasa lega dan puas apabila semuanya berjalan mengikut aturan walaupun rasa gemuruh itu tidak hilang sehingga penghujung konsert. Saya anggap konsert mini ini adalah titik permulaan yang baik untuk terus berkarya dan menghiburkan peminat.

“Saya amat berterima kasih kepada peminat yang sudi datang memeriahkan konsert ini. Saya difahamkan tiket konsert ini habis dijual awal.

“Bagi saya konsert ini cukup lengkap dan membahagiakan. Kecil untuk diri saya, tapi besar untuk berkongsi rasa bahagia dalam bidang muzik,” katanya sambil menambah pemilihan lagu dibuat berdasarkan lagu popular dan lagu kegemarannya.

Menurut Imran, sekiranya diberikan peluang kelak dia ingin lebih menceritakan kehidupan arwah bapanya yang tiada siapa tahu.

Barangkali konsert yang berlangsung itu amat terhad untuk dia berkongsi detik indah mengenai arwah bapanya.

“Kalau diberi peluang nanti, saya teringin untuk bercerita mengenai kehidupan arwah bapa. Bagi saya, segmen untuk arwah bapa itu hanyalah sekadar prebiu untuk peminat dan teman rapat.

“Saya hanya sempat peragakan tiga lagu ciptaan arwah. Saya rasa seandainya dapat peluang untuk bercerita mengenai lagu arwah pasti menarik kerana orangnya sudah tiada tetapi setiap kenangan dalam lagu dibuatnya ada di tangan saya,” katanya.

Bersyukur terus diterima

Mengaku perjalanan sedekad yang ditempuh melalui fasa pasang surut, Imran tetap teguh mewangikan karier seninya.

Pelantun yang turut terkenal menerusi lagu Selamat Ulang Tahun Sayang berkata, banyak kenangan manis ditempuh sepanjang 10 tahun ini, namun antara yang menarik perhatiannya apabila dia dikenali umum tanpa simbahan cahaya populariti.

“Sejujurnya saya seorang anak kelahiran Singapura yang dapat berhijrah ke tanah air. Tanpa populariti yang besar dan konsisten, tapi saya kekal bertahan sehingga hari ini dengan satu dua lagu saja.

“Saya rasa bersyukur apabila kehadiran saya ini terus bernyawa dan anggap setiap yang berlaku ini kejayaan manis. Saya akan terus berkarya dan tidak kisah nama dikenali atau tidak asalkan dapat berkongsi seni ini kepada semua,” katanya.

Imran berkata antara resipi untuk berjaya adalah jangan malu untuk gagal dan jangan takut berdepan dengannya.

Ditanya mengenai perancangan selepas sedekad bergelar anak seni, Imran memberitahu dia berhasrat berkolaborasi dengan penyanyi seangkatan, senior dan junior.

“Tiada apa lagi yang saya ingin buktikan melainkan kepuasan untuk diri sendiri. Saya teringin berduet dengan penyanyi yang mirip dengan genre lagu saya.

“Saya ingin mencipta peluang ini selagi hayat masih ada kerana berpeluang berduet dengan penyanyi lain memberi satu persembahan yang cukup sempurna dalam kerjaya setiap penyanyi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Julai 2018 @ 11:45 AM