Oleh Amirul Haswendy Ashari


Lagu Gadis dan Bunga serta Doa nyanyian Rahimah Rahim kekal malar segar sejak 1980-an sehingga hari ini. Siapa boleh sangkal, lagu-lagu nyanyiannya mempunyai momentum unik dan turut menjadi pilihan golongan muda di persembahan terbuka mahupun di pusat karaoke.

Bertemu Rahimah yang kini mencecah usia 59 tahun pada majlis sambutan Ulang Tahun 50 EMI Malaysia baru-baru ini, orangnya ramah dan ceria bercerita aktiviti terbarunya.

Nenek kepada tiga cucu ini berkata, dia masih menyanyi seperti dulu walaupun pernah bersara daripada dunia nyanyian pada 1989 atas sebab peribadi.

“Andai saya kembali aktif atau tidak, ia tidak memberi kesan kepada kehidupan peribadi saya. Pada masa sama, saya juga membuat kerja-kerja pejabat di syarikat guaman di Singapura,” katanya.

Selain bekerja dan melayan kerenah cucu, Alya Qistina, 10, Alysha Qadria, 9, dan Aqmal Martin, 7, Rahimah juga gembira kerana tetap menerima undangan persembahan di Singapura dan Malaysia hampir setiap tahun.

Rasa cintanya pada dunia seni terlalu kuat dan sudah sebati dalam dirinya kerana anak sulung dari empat beradik ini lahir dalam keluarga seni.

Bapanya, Rahim Hamid adalah penyanyi popular mendapat jolokan Nat King Cole Singapura dan ibunya, Mariam Bahrom yang dikenali sebagai Mariam Tahi Lalat merupakan seniwati veteran.

Malah ibu saudaranya, Datin Saadiah Baharom (adik Mariam) merupakan legenda filem Melayu, bapa saudara, Datuk Ahmad Daud penyanyi legenda dan sepupunya, Fauziah Ahmad Daud adalah pelakon, penyanyi, pengarah dan pengacara terkenal.

Mula menghasilkan album pada 1972, Mana Ibumu ketika usianya 17 tahun, sehingga kini Rahimah menghasilkan 12 album. Dua albumnya, Gadis Dan Bunga (1982) serta Bebas (1984) yang diterbitkan Johari Salleh mencatat jualan emas. Album lain, Masihkah Ada Cinta (1987), Hati Yang Rapuh (1989) dan Suatu Memori (2003).

Memiliki dua kerakyatan, Malaysia dan Singapura juga membuatkan urusan persembahan di dua negara lebih mudah.

Terbaru, Rahimah diundang memeriahkan Konsert Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada Januari lalu. Selain itu, penyanyi itu turut beraksi dalam filem terbitan produksi Singapura, 3688 arahan pengarah muda, Rosyton Tan.

Pada Mac lalu, Rahimah yang boleh berbahasa Mandarin terbang ke Shanghai, China mewakili Singapura untuk satu persembahan nyanyian di sana.

Kata Rahimah, dia kini sibuk dengan persediaan untuk konsert sempena sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) ke-50 Singapura tidak lama lagi.

“Saya bersyukur kerana masih diberi peluang terus berkongsi bakat sejak lebih 20 tahun lalu. Pada usia ini, masih ada yang mahukan saya dan ia buatkan saya terharu,” katanya.

Pernah berkahwin dengan pemain bola sepak, Mohamed Noh Hussein pada 1977 dan bercerai pada 1988, mereka mempunyai anak perempuan, Pearl Nur Hida yang lahir pada 1978.

Rahimah kemudian berkahwin dengan pegawai bank, Remy Taib pada 1994 dan mempunyai anak perempuan, Amalyn pada 1995.

Ditanya kisah peribadi, Rahimah enggan mengulas lanjut. Katanya, dia lebih selesa berbicara mengenai kerjaya seni berbanding kisah peribadi sejak dulu lagi.

“Apa yang boleh saya katakan, saya bahagia dengan kehidupan saya sekarang. Jika tiada aral, saya akan kembali dengan single baru tahun ini.

“Rakan-rakan di sini, terutamanya kalangan komposer ada juga tawarkan lagu. Tengoklah macam mana,” katanya yang sinonim dengan lagu-lagu ciptaan komposer tempatan seperti Fauzi Marzuki dan Johari Salleh.

Rahimah juga pernah beraksi dalam dunia lakonan melalui tiga filem, Korban Kasih (1962), Masuk Angin Keluar Asap dan Kasih Ibu (1963). Korban Kasih dijayakan ketika usianya enam tahun dan dua lagi filemnya juga watak kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2015 @ 5:09 AM