DIANA Johor
DIANA Johor
Ramlah Zainal

Kekurangan promosi menjadi faktor utama filem Peransang Rentap gagal mendapat sambutan di pawagam tanah air.

Filem arahan Lina Johor terbitan Unique Twins Sdn Bhd ini menjengah pawagam pada 2 November tahun lalu tetapi kutipannya tidak seperti diharapkan.

Selaku pelakon dan penerbit filem ini, Diana Johor berkata, tanpa promosi meluas sukar untuk menarik orang ramai menonton filem tempatan.

“Filem ini memang kekurangan promosi kerana kami tidak mempunyai peruntukan secukupnya untuk melakukan promosi secara besar-besaran sebelum ini.

“Kami juga sedia maklum promosi kunci utama dalam menyampaikan kepada semua golongan masyarakat bahawa filem ini sudah berada di pawagam.

“Terus terang, ramai peminat yang bertanya bila filem Peransang Rentap akan ditayangkan sedangkan tayangannya sudah selesai,” katanya.

Bagaimanapun, Diana tidak berasa kecewa dengan kegagalan filem itu di pawagam tempatan.

“Saya reda dengan apa yang berlaku kerana sudah buat yang terbaik untuk filem ini. Ia hanyalah permulaan bagi penerbit muda seperti kami yang cuba menghasilkan kelainan dalam industri perfileman Malaysia,” katanya.

Diana tetap bersyukur kerana filem itu akhirnya ditayangkan di pawagam selepas pelbagai ujian dilalui sejak 2014.

“Bukan senang untuk menerbitkan filem patriotik ini tanpa sokongan keluarga dan rakan.

“Lebih bermakna filem ini juga mendapat maklum balas positif penonton selepas ditayangkan di 60 pawagam di Malaysia dan Brunei Darussalam,” katanya.

Bagaimanapun,kata Diana, dia tidak serik untuk menerbitkan filem genre patriotik pada masa depan.

“Kutipan filem sama ada mencecah ‘box office’ atau sebaliknya adalah adat dalam perniagaan perfileman.

“Saya tidak akan putus asa untuk menerbitkan filem patriotik kerana ia penting untuk menerapkan semangat cintakan bangsa dan negara kepada golongan masyarakat,” katanya.

Tayangan di Astro First

Walaupun filem Peransang Rentap gagal mendapat sambutan di pawagam, Diana tetap menaruh harapan peminat akan terus memberi sokongan pada filem itu yang mula bersiaran di saluran Astro First bermula 11 Januari ini.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana filem ini mula ditayangkan di Astro First.

“Semoga peminat tidak melepaskan peluang keemasan menonton filem ini sepanjang tempoh tayangannya nanti.

“Tanpa sokongan daripada peminat, tidak mungkin penerbit muda seperti saya dan Lina akan melangkah lebih jauh dalam industri perfileman,” katanya.

Ditanya perancangan untuk filem itu, pihaknya juga masih dalam perbincangan untuk memasarkannya di luar negara.

“Saya juga percaya industri perfileman tempatan boleh pergi jauh dan setanding dengan filem luar negara.

“Apa yang penting, sokongan daripada rakyat kita sendiri terhadap filem tempatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2018 @ 3:24 AM