MENYALURKAN sepenuh jiwanya pada setiap persembahan.
MENYALURKAN sepenuh jiwanya pada setiap persembahan.
Georgie Joseph


Dalam sesebuah konsert, apabila penyanyinya memberikan sepenuh jiwa raganya, tentu penonton akan pulang kepuasan.

Inilah yang sentiasa ditonjolkan penyanyi Korea Selatan setiap kali beraksi dalam konsert solo mereka.

Tampil dengan konsert solo keduanya di sini, TAEYANG 2017 World Tour ‘White Night’ di Stadium Negara, Kuala Lumpur, Sabtu lalu, anggota BIGBANG itu ternyata makin berbisa di pentas. Berbeza dengan persembahannya beberapa tahun lalu, dia kini jauh lebih bijak mengawal diri.

Bukannya sebelum ini tidak bagus, tetapi Taeyang semakin matang dalam pergerakannya.

Dia bukan lagi penyanyi yang cuma bergantung kepada koreografi tarian bagi memikat hati penonton.

Sebaliknya, Taeyang memberikan ‘nyawa’ kepada setiap lagu yang dipersembahkan secara keseluruhan.

Tiada satu momen pun dia kelihatan tidak memberikan sepenuh tenaganya terhadap nyanyiannya.

Jika diteliti, gerak-geri dan cara menyalurkan tenaganya mengingatkan kepada mendiang Michael Jackson. Dia benar-benar memasukkan elemen penghibur sejati dalam dirinya sebagaimana Michael selalu lakukan dulu.

Berbeza dengan persembahan sebelum ini, dia juga cukup selesa menguasai setiap penjuru pentas tanpa memikirkan terikat pada sesuatu halangan.

Taeyang bertindak bijak dengan mengawal penuh keseluruhan agenda di pentas.

Bagaimanapun, tidak disangkal sebab utama penonton sentiasa sanggup berhabis mahu menonton konsertnya adalah kerana mahu mendengar nyanyiannya secara langsung.

Terus terang, sukar untuk melihat penyanyi Korea Selatan yang mampu memukau penonton dengan vokal semata-mata.

Bagaimanapun, Taeyang terkecuali kerana dia bergantung sepenuhnya kepada vokal apabila berada di pentas.

Yang jelas, semua penonton terpukau dengan setiap bait lirik dinyanyikannya. Ia mengena di hati dan dia maksudkan setiap bait berkenaan.

Hanya sekadar berdiri dan sekali-sekala diiringi penari latar, dia tidak perlukan set pentas yang gah, cukup sekadar menukar persalinannya beberapa kali bagi memberikan sedikit kelainan.

Namun, bukan itu agenda utama yang diambil berat penonton, mereka cuma mahukan Taeyang terus menghibur dengan kelincahan serta kehebatan vokalnya supaya dapat dihayati dengan lebih indah.

Sejujurnya, konsert kali ini tiada apa yang luar biasanya dari segi pementasan berbanding konsert rakan BIGBANG, G-Dragon beberapa minggu lalu.

Paling penting, persembahan Taeyang berjaya menenggelamkan aspek itu.

Dalam pada dia leka menghiburkan lebih 5,000 penonton, terserlah di wajahnya seakan-akan ada sesuatu yang bermain di fikirannya. Seakan-akan dia menyembunyikan satu hal yang memberi kesan mendalam buat dirinya.

Ternyata dia sangat rindukan beraksi bersama BIGBANG. Taeyang akhirnya membuat pengakuan pada malam itu dia bersyukur menjadi sebahagian daripada kumpulan itu dan berharap dapat bersatu kembali di pentas.

“Saya masih ingat pertama kali ke Kuala Lumpur adalah sewaktu bersama BIGBANG menjayakan konsert jelajah dunia. Itu adalah satu kenangan terindah apalagi anda semua hadir memberikan sokongan luar biasa.

“Memang saya rindukan saat bersama mereka.

Terus terang, saya berharap kami akan dapat beraksi bersama lagi untuk kamu pada masa hadapan.

Dapat menjadi sebahagian daripada BIGBANG adalah perkara terindah dalam hidup saya. Saya tidak dapat bayangkan jika hidup saya tidak pernah bersama mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Taeyang sempat menyatakan kepuasan dirinya menghasilkan album terbarunya, White Night.

“Anda semua sudah dengar album baru saya? Untuk pertama kalinya, saya sangat-sangat berpuas hati dengan keseluruhan penghasilan album ini dan berharap mesejnya akan sampai,” katanya.

Pada konsert berdurasi hampir dua jam itu, Taeyang bukan saja mempersembahkan lagu hit miliknya bahkan turut menyanyikan lagu BIGBANG.

Lagu-lagu yang dipersembahkannya termasuk Ringa Linga, Body, Super Star, Wake Me Up, Only Look At Me \Wedding Dress, Amazin’, 1 AM, Naked, So Good, I Need A Girl, Empty Road, Ride, Tonight, Love You to Death, Last Dance dan Darling.

Pada segmen encore, dia menghangatkan lagi suasana dengan lagu Break Down, Good Boy, Stay With Me, Bang Bang Bang, Fantastic Baby dan Eyes, Nose, Lips.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2017 @ 4:19 AM