YBK turut menaja golongan yang kurang berkemampuan menunaikan umrah. FOTO Ihsan YBK
YBK turut menaja golongan yang kurang berkemampuan menunaikan umrah. FOTO Ihsan YBK
PEMENANG Pertandingan Mencipta Logo 30 Tahun YBK bergambar bersama Zainal. FOTO Ihsan YBK
PEMENANG Pertandingan Mencipta Logo 30 Tahun YBK bergambar bersama Zainal. FOTO Ihsan YBK
Fairul Asmaini Mohd Pilus


SEPANJANG beroperasi, yayasan yang ditubuhkan pada Mac 1990 itu memainkan peranan penting dalam membantu golongan memerlukan khususnya anak yatim, keluarga miskin, orang kurang upaya (OKU) dan belia tercicir di seluruh negara.

Bagi meraikan lagi sambutan berkenaan, yayasan itu turut mengadakan pertandingan mencipta logo yang dimenangi Audi Faliq Ibrahim.

Kreativiti membolehkan pemuda berkenaan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 yang disampaikan Pengerusi YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom pada majlis di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai logo terbabit, Zainal Abidin berkata, rekaannya diilhamkan daripada logo yayasan itu sendiri iaitu warna biru, merah dan kuning.

Kata beliau, angka 30 yang tertera pula adalah simbolik semangat juang kental dan berjiwa besar bagi memastikan yayasan itu kekal relevan di mata masyarakat.

“Tambahan warna hijau pula adalah simbol warna 30 tahun dan reben yang mengelilingi logo berkenaan melambangkan jalinan ‘ukhuwah fillah’ antara sahabat YBK yang bersama dalam suka duka sejak 1990 sehingga 2020,” katanya.

Kata Zainal Abidin lagi, dalam usaha menjadi sebuah yayasan yang mantap dan berkesan, pihaknya melaksanakan pelbagai program berteraskan sosio ekonomi serta pendidikan.

Pada awal penubuhan yayasan berkenaan melihat punca utama masalah kemiskinan di Selangor ketika itu adalah disebabkan keluarga miskin tiada tempat berteduh yang kondusif.

Justeru, mereka mengorak langkah dan mengambil inisiatif sehingga terbinalah kira-kira 1,000 unit rumah di Lindungan Kasih di Sabak Bernam dan sembilan penempatan Desa Kasih di seluruh negeri Selangor.

“Penubuhan Asrama Kasih YBK di Serendah dan Gesir, Pusat Latihan di Kuala Selangor serta Akademi Kemahiran di Gesir contohnya menyaksikan lebih 6,500 pelajar miskin dan belia tercicir berjaya dibantu dari segi peningkatan tahap pendidikan dan pembangunan sahsiah diri.

“Selain itu, Program Kumpulan Tuisyen Hujung Minggu (Kuntum) dan Fastrack pula menyediakan tuisyen dan kelas secara tersusun kepada pelajar miskin terpilih di seluruh negara,” katanya.

Menurut Zainal Abidin, peranan dan perjuangan yayasan itu dilihat belum selesai kerana kenaikan kos sara hidup yang mengakibatkan kumpulan miskin meningkat khususnya miskin bandar dan B40.

Katanya, cabaran tahun 2020 dan pendekatan Revolusi Industri 4.0 juga dikatakan akan mengakibatkan ramai kehilangan pekerjaan yang akhirnya membawa kepada hilangnya punca pendapatan.

“Oleh itu, YBK terus berfungsi melaksanakan pelbagai program tahunan berbentuk ‘laman amal’ bagi mendidik jiwa masyarakat untuk sama-sama berkongsi rasa dengan individu dan keluarga yang memerlukan,” katanya.

Sementara itu, Zainal Abidin berkata, yayasan terbabit turut mengadakan program Santuni Gelandangan di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad Kuala Lumpur serta program motivasi percuma kepada pelajar melalui Program Motivasi Semangat Mendaki.

Pada bulan Ramadan pula, kata Zainal Abidin, yayasan berkenaan turut mengadakan program tahunan seperti Apabila Tibanya Ramadan dan Sinar Kasih Ramadan (SKR) bagi membantu menyediakan keperluan belanja bersahur dan berbuka puasa bagi keluarga miskin terpilih.

“Kami juga mengadakan program ‘YBK Eye’ iaitu pemberian cermin mata percuma kepada pelajar kurang berkemampuan di Selangor.

“Diharapkan rakyat Malaysia dapat bersama memberi sokongan dan menggembleng usaha bagi mencapai aspirasi membasmi kemiskinan serta membina kesejahteraan hari ini dan di masa akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Februari 2020 @ 6:30 AM