SUKARELAWAN menyusun pakaian terkumpul.
SUKARELAWAN menyusun pakaian terkumpul.
HM Digital


TIADA yang lebih meriah selain dapat memakai baju baharu pada pagi raya, mencium tangan ibu dan bapa seterusnya bersama-sama berkunjung ke rumah saudara-mara dan rakan taulan.

Namun di sebalik keseronokan itu, ada segelintir yang terpaksa melupakan keselesaan untuk memiliki persalinan raya kerana kekangan ekonomi selain kos sara hidup kian meningkat.

Prihatin dengan nasib golongan itu, Persatuan Pelajar Mekanikal Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Aeronautic Club UTHM Kampus Batu Pahat, Johor dan Dobi AlHijrah menganjurkan Program Baju Raya Pre-loved Percuma, baru-baru ini.

Menurut Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Dr Mohd Zamani Ngali, kempen berkenaan berlangsung selama seminggu di hadapan Asrama Biru Taman U Parit Raja itu memberi peluang kepada masyarakat Johor untuk datang dan memilih baju bersesuaian dengan cita rasa mereka.

“Program ini sebenarnya bermula sejak awal lagi iaitu pertengahan April bagi mengumpul baju terpakai yang masih elok untuk diagihkan ketika hari kempen selama seminggu.

“Kami berjaya mengumpul lebih empat tan pakaian boleh dipakai untuk disumbangkan kepada golongan memerlukan atau sesiapa saja yang meraikan Aidilfitri. Maklumlah bukan semua mampu untuk membeli baju baru.

“Melalui cara ini pakaian yang tidak muat lagi atau terpakai tidak hanya terperap dalam almari, sebaliknya boleh dimanfaatkan orang lain. Kami mahu mendidik amalan kitar semula dan tidak memfokuskan pada golongan susah semata-mata.

“Pakaian kami kumpul ini terbuka kepada sesiapa yang memerlukannya untuk datang ke pusat agihan berkenaan,” katanya.

Dr Mohd Zamani berkata, pelbagai latar belakang yang datang memilih kerana pakaian terpakai ditawarkan masih tampak baru selain berjenama.

“Sepanjang kempen berlangsung kami didatangi pelbagai lapisan masyarakat. Rata-rata pusat ini menerima 600 pengunjung sehari sejak ia dibuka jam 8 pagi hingga 6 petang.

“Mereka dibantu sukarelawan terdiri daripada pelajar, kakitangan selain pemilik dobi sendiri turut turun padang. Anggaran lebih empat tan baju terpakai diperoleh diagihkan kepada lebih 5,000 pengunjung sepanjang kempen berlangsung.

“Bagaimanapun, pada hari terakhir kempen, kami turut mendapat bantuan daripada sukarelawan luar iaitu dari pusat agihan lain seperti Masai dan Kulai yang juga mengadakan kempen sama meneruskan program berkenaan sepanjang Ramadan,” katanya mengakui hubungan pelajar dengan masyarakat setempat bertambah erat hasil daripada projek berbentuk tanggungjawab sosial korporat berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2019 @ 4:30 AM