ERA menunjukkan sebahagian baju yang dijual dengan harga RM1 sehelai.
ERA menunjukkan sebahagian baju yang dijual dengan harga RM1 sehelai.
Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Nerus: Walaupun berharga RM1, seorang peniaga memastikan kualiti baju terpakai yang dijualnya sentiasa baik untuk keperluan golongan memerlukan.

Niat Era Fazira Ramli, 24, hanya satu iaitu membantu golongan berkenaan membeli pakaian yang berkualiti pada harga jauh lebih rendah daripada pasaran.

Katanya, menerusi KB Bundle Boutique, dia menjual baju terpakai serendah RM1 sehelai manakala pelbagai jenis seluar dengan harga RM10 untuk tiga helai sejak setahun lalu.

“Saya sudah mempromosikan harga RM1 ini sejak Disember tahun lalu dan dalam tempoh ini, jumlah pelanggan meningkat tiga kali ganda berbanding biasa.

“Sebelum ini, mahu dapat tiga pelanggan sehari pun sukar tetapi sejak tawaran harga rendah itu, pelanggan bertambah sehingga 20 orang sehari.

“Walaupun keuntungan tidak banyak, saya mendapat kepuasan dan paling penting, pakaian laris terjual. Alhamdulillah niat saya untuk membantu juga tercapai,” katanya ketika ditemui, di sini.

Menurutnya, sebelum ini harga pakaian terpakai di kedainya ditetapkan antara RM5 hingga RM10 sehelai dan dia hanya memilih pakaian berkualiti serta tidak lusuh untuk dijual kepada pelanggan.

Katanya, pakaian yang terlalu lusuh akan diasingkan dan diletakkan di suatu sudut sebelum diberi percuma kepada sesiapa yang mahukannya.

Sementara itu, pelanggannya, Mazri Muda, 40, dari Kampung Baru Seberang Takir berkata, dia sudah tiga kali berkunjung ke kedai berkenaan untuk membeli pakaian mengikut bajetnya.

“Tawaran harganya sangat membantu golongan berpendapatan rendah seperti saya dan kualiti pakaian pun sangat elok, tidak setanding dengan harganya RM1,” katanya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Abdullah A Rani, 60, dari Kampung Banggol Limau berkata, seumur hidupnya, dia tidak pernah membeli baju pada harga RM1 dan tidak melepaskan peluang itu untuk membelinya keperluan.

“Ramai rakan nelayan yang memberitahu mengenai kedai pakaian terpakai RM1 itu namun hari ini (kelmarin) baru sempat ke kedai ini. Memang teruja, apatah lagi pakaiannya masih elok.

“Harap lebih banyak kedai pakaian terpakai mencontohi kedai ini untuk meringankan beban kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Mac 2018 @ 4:36 AM