BAMBANG Soteto, pemilik salun Hairkunst. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
BAMBANG Soteto, pemilik salun Hairkunst. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
Hafiz Ithnin

Pernah dengar ungkapan 'merah jambu itu adalah hitam yang baru?' Mungkin ada yang mencebik mendengar kenyataan ini khususnya bagi kalangan bukan pencinta warna feminin itu.

Ungkapan itu sebenarnya simbolik kepada dunia lelaki masa kini yang sudah berubah 180 darjah khususnya dari segi penggayaan dan fesyen. Namun usah salah faham. Ungkapan itu bukan bererti tahap ‘kejantanan’ lelaki hari ini condong ke arah feminin (walaupun sudah muncul trend seumpama itu) tetapi ia lebih merujuk kepada kepekaan mereka dalam soal penjagaan keterampilan diri.

Buktinya jelas, kini jika membuka mana-mana laman sosial, penjagaan keterampilan khususnya dari segi dandanan rambut lelaki semakin mendapat perhatian. Daripada potongan, gaya dandanan dan warna rambut kini semakin meriah yang seolah-olah membuka laluan kepada dunia baru lelaki.

Pengasas Hairkunst Sdn Bhd, Bambang Sutrisno Soteto yang berpengalaman dalam bidang dandanan rambut sejak 2001 berkata, lelaki kini mula agresif dan peka dalam soal menjaga rambut, malah ia meledak di media sosial.

Katanya, perkongsian foto atau video di media sosial menjadikan lelaki lebih berhati-hati untuk memastikan keterampilan mereka dalam keadaan baik, sekali gus memaparkan visual diri yang menarik.

“Situasi ini bukan saja berlaku di Malaysia tetapi di seluruh dunia kerana keadaan keterampilan diri yang baik terutama gaya rambut mampu mencerminkan keperibadian seseorang sama ada mereka tampak mementingkan kekemasan ataupun berani.

“Dahulu, kebanyakan lelaki hanya mahukan konsep ‘asal kemas’ apabila memotong rambut. Paling tidak, mereka meniru gaya rambut artis popular. Namun keadaannya sudah jauh berbeza, banyak yang dituntut lelaki hari ini. Selain kemas, mereka mahu memastikan rambut dalam keadaan sihat dan menonjolkan visual diri yang menarik,” katanya yang mendapat pendidikan penggayaan rambut di Jerman.

LELAKI masa kini bukan sekadar memotong rambut malah membuat pelbagai rawatan di salun. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
LELAKI masa kini bukan sekadar memotong rambut malah membuat pelbagai rawatan di salun. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.

Bambang berkata, jika dahulu wanita lebih sinonim dengan dunia salun, kini situasi itu juga berubah kerana semakin ramai lelaki yang selesa jika rambut mereka dibelai, didandan dan dirawat juruterapi bertauliah.

Katanya, menerusi pengalaman peribadinya memiliki tujuh salun, lelaki urban terutamanya tidak lokek mengeluarkan bajet untuk memastikan rambut mereka dalam keadaan baik.

Malah, ada yang sanggup berbelanja sehingga RM1,000 dalam satu kunjungan ke salun untuk memotong, mendapatkan rawatan, mewarna dan membeli pelbagai bahan penjagaan serta dandanan rambut.

“Biasanya apabila pelanggan lelaki datang, perkara rutin yang diinginkan hanya memotong rambut mengikut gaya terkini dan mencucinya. Pada masa sama, mereka juga melakukan pelbagai rawatan rambut seperti detoks iaitu kaedah membersihkan kulit kepala daripada kotoran seperti minyak rambut.

“Bagi mereka yang lebih berani, mereka mahu rambut diwarnakan. Saya akui, dulu ramai lelaki keberatan mewarnakan rambut kerana pewarna itu kalis air dan menyukarkan mereka untuk bersuci. Tetapi kini sudah ada teknologi mewarna yang telap air dan ia semakin mendapat perhatian mereka yang ingin tampil berbeza,” katanya.

PENDANDAN rambut dalam kalangan lelaki memudahkan mereka memberi idea kepada pelanggan. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
PENDANDAN rambut dalam kalangan lelaki memudahkan mereka memberi idea kepada pelanggan. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.

Untuk trend warna rambut tahun ini, Bambang menjangkakan warna undertone seperti biru gelap, hijau gelap dan ungu gelap menjadi ikutan gaya rambut lelaki Asia.

“Tahun lalu, warna seperti kelabu atau hijau terang dan pastel menjadi pilihan ramai lelaki. Bahkan warna keemasan juga mendapat perhatian.

“Bagaimanapun, tahun ini konsep pastel yang lebih gelap diketengahkan dan warna emas pula perlu mengikut kesesuaian warna kulit. Bukan semua orang sesuai menggunakan warna emas untuk gaya rambut mereka. Walaupun ada permintaan, biasanya saya akan beri pandangan supaya penampilan tidak tampak janggal,” katanya.

MEMOTONG rambut lelaki  perlu mempunyai kemahiran khusus. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
MEMOTONG rambut lelaki perlu mempunyai kemahiran khusus. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.

Dari segi potongan rambut, Bambang melihat gaya separa panjang (mencecah bahu) atau panjang melebihi bahu menjadi pilihan pada tahun ini berbanding 2018, potongan undercut iaitu tipis di bahagian tepi dan dibiarkan panjang di bahagian atas turut menarik perhatian ramai.

Selain itu, katanya, gaya potongan rambut lelaki tahun lalu juga sering mengetengahkan konsep fade cut iaitu rambut di bahagian kanan dan kiri dipotong pada permulaannya tipis dan semakin tebal di bahagian atas. Bahagian atas juga dibiarkan panjang.

“Gaya undercut atau fade cut mungkin tidak menjadi ikutan pada tahun ini kerana sudah biasa digayakan dalam tempoh dua atau tiga tahun kebelakangan ini dan ada juga melihat ia sudah sedikit membosankan.

“Untuk 2019, gaya panjang dan separa panjang dijangka menjadi pilihan lelaki kerana kami melihat kebanyakan sektor pekerjaan semakin kasual dan santai. Oleh itu, gaya rambut panjang lelaki juga semakin diterima dalam sektor pekerjaan,” katanya.

PELBAGAI jenis sikat yang boleh digunakan mengikut kesesuaian individu. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
PELBAGAI jenis sikat yang boleh digunakan mengikut kesesuaian individu. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.

Kata Artis Loreal 2018/2019 itu, meskipun berambut panjang dan separa panjang, lelaki hari ini juga bijak menguruskannya untuk kelihatan kemas dan rapi terutama bagi mereka yang berada dalam sektor pekerjaan profesional.

“Kebanyakan lelaki yang berambut panjang atau separa panjang lebih peka untuk memastikan keadaan rambut dalam keadaan terurus dan pastinya sihat kerana untuk mempunyai rambut yang panjang bukan mengambil masa yang pendek.

“Jadi mereka lebih peka memastikan rambut sentiasa dirawat supaya lebih sihat. Jalan paling mudah untuk menjaga ‘mahkota’ itu adalah dengan mengunjungi salun yang mempunyai juruterapi terlatih,” katanya.

SERUM minyak argan antara produk penjagaan rambut yang sering mendapat perhatian pengguna. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
SERUM minyak argan antara produk penjagaan rambut yang sering mendapat perhatian pengguna. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.

Katanya, di pasaran ketika ini terdapat banyak kategori produk dandanan rambut untuk golongan itu seperti wax, clay, gel, krim, pomade dan mousse.

Apa yang penting lelaki perlu bijak menggunakan jenis produk dandanan rambut berkenaan mengikut kesesuaian jenis kulit kepala sama ada berminyak, kering atau normal.

“Bagi kulit jenis berminyak, penggunaan produk jenis kering seperti wax dan clay disarankan kerana jika kulit kepala berminyak menggunakan produk dandanan jenis berminyak, ia akan terus merosakkan rambut. Begitu juga dengan jenis kulit kepala kering iaitu produk seperti gel atau krim boleh digunakan.

“Bagi kulit jenis normal, tiada masalah untuk menggunakan jenis produk dandanan yang mereka inginkan. Paling utama produk yang digunakan tidak merosakkan kulit kepala kerana rambut kita sensitif terhadap bahan kimia yang tidak sesuai dan ia boleh mengakibatkan kerosakan rambut. Paling mengerikan apabila rambut gugur yang akhirnya menyebabkan botak,” katanya.

POMADE berasaskan air yang terdapat di pasaran. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
POMADE berasaskan air yang terdapat di pasaran. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 1:08 PM