CIK Roslan  (kiri) dan  Abdul Zaman bersama kenderaan yang digunakan untuk menunda dan menarik kereta.
CIK Roslan (kiri) dan Abdul Zaman bersama kenderaan yang digunakan untuk menunda dan menarik kereta.
Oleh Rosman Shamsudin


Slim River: Pernah menunda kereta bekas perdana menteri dan anak bekas timbalan perdana menteri, selain berdepan makhluk halus antara cabaran dihadapi longkai atau penunda kereta, Cik Roslan Abdul Karim, 48, yang berpengalaman sebagai longkai sejak 25 tahun yang lalu.

Ketika itu, kereta Proton Perdana Eksekutif yang dinaiki Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi rosak semasa dalam perjalanan menghadiri program di kawasan ini.

Sebaik mendapat panggilan telefon, dia bergegas ke tempat dilaporkan dan terkejut apabila kereta dinaiki perdana menteri perlu ditunda dari Behrang ke Kuala Lumpur.

Walaupun hanya melihat kelibat Tun Abdullah dari jauh ketika menaiki kereta pengiring lain namun dia berbangga dapat memberi perkhidmatan kepada orang nombor satu negara.

Cik Roslan yang dibantu anak saudaranya, Abdul Zaman Mohd Khalid, 34, menganggap semua dilalui melumrah kerjaya longkai dalam mencari rezeki demi kelangsungan hidup.

Cik Roslan berkata, pengalaman manis lain termasuk menunda kereta anak bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut rosak ketika dalam perjalanan.

Katanya, kereta anak Ahmad Zahid ditunda sehingga ke Bagan Datuk, Perak manakala kereta anak Anwar ditunda dari Sungkai ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, menjadi longkai perlu bergerak ke destinasi untuk menunda kenderaan selepas dihubungi pemilik kenderaan atau orang ramai.

"Apabila dihubungi seseorang untuk menunda kereta, saya terus setuju dan bergerak ke destinasi tanpa bertanya pemilik sebenar kenderaan.

"Pemilik hanya diketahui selepas dimaklumkan pegawai pengiring bekas menteri terbabit membuatkan saya teruja kerana dapat menunda kereta orang kenamaan," katanya, dekat sini.

Di samping itu, longkai juga bergerak tidak menentu masa terutama pada waktu tengah malam atau awal pagi dan dia pernah terserempak makhluk halus yang menjadi asam garam kerjaya terbabit.

"Saya pernah dipanggil pemilik pada waktu malam namun apabila sampai ke tempat kejadian tiada kenderaan rosak seperti dilaporkan, malah apabila menghubungi nombor itu, ia tiada dalam perkhidmatan.

"Sesekali ternampak kelibat mahkluk halus di tepi jalan atau bertandang di atas jejambat atau penghadang yang mampu membuat bulu roma tegak dan berpeluh sepanjang perjalanan.

"Kejadian itu kadangkala teringat-ingat terutama ketika berkerja pada waktu malam namun saya cekalkan hati demi mencari rezeki halal," katanya.

ABDUL Zaman  dan Cik Roslan memeriksa enjin kenderaan sebelum melakukan perjalanan  menarik kereta.
ABDUL Zaman dan Cik Roslan memeriksa enjin kenderaan sebelum melakukan perjalanan menarik kereta.

Katanya, dia biasanya singgah berehat di mana-mana restoran dahulu sebelum pulang ke rumah bagi mengelak makhluk itu mengganggu ahli keluarganya.

Pengalaman awal menjadi longkai, zaman dahulu segelintir longkai terdiri daripada ahli kumpulan gengster disebabkan persaingan sengit untuk menunda kerana kereta tidak banyak di jalan raya.

"Bila sebut longkai, pasti memberi gambaran negetif bagi mereka yang pernah ada pengalaman pahit dengan perkhidmatan ini.

"Bagaimanapun perkhidmatan longkai sentiasa diperlukan apatah lagi ketika kenderaan rosak pada waktu yang genting iaitu tengah malam atau awal pagi.

"Zaman berubah dan bilangan kenderaan semakin banyak menyebabkan kerjaya longkai tidak lagi didominasi gengster, malah wujud persaingan sihat dalam perkhidmatan terbabit.

"Sebenarnya, tidak timbul isu menindas atau ditindas antara longkai dengan pengguna kerana dalam situasi ini pengguna perlu bijak memilih dan membuat keputusan," katanya.

Kerjaya longkai menuntut masa kerja 24 jam tanpa mengira waktu dan perlu bergerak ke destinasi apabila diperlukan walau di mana sahaja.

Hasil pembabitannya dalam perkhidmatan dikenali Cik Lan Tunda bersama Abdul Zaman, kini mereka memiliki dua trak tunda dan dua kenderaan pengiriman kereta.

Katanya, kerja longkai mudah sahaja kerana hanya perlu menunda kenderaan rosak ke destinasi diminta pemilik atau membawa ke bengkel.

"Sebaik-baiknya perlu ada rundingan dan kata putus antara dua pihak mengenai caj sebelum kenderaan ditunda supaya tidak wujud rasa tidak puas hati.

"Kadangkala longkai pun ditipu pemilik kenderaan yang berjanji memasukkan baki bayaran tetapi akhirnya senyap sahaja," katanya.

Sementara itu, Abdul Zaman pula berkata car carrier atau kenderaan pengiriman digunakan bagi kenderaan yang mengalami kerosakan kecil dan trak tunda bagi kenderaan yang terbabit kemalangan.

Katanya, kini pemilik kenderaan boleh mencari perkhidmatan longkai lebih mudah di laman sesawang walaupun di mana sahaja.

Pemilik boleh melihat syarikat atau individu yang menawarkan perkhidmatan terbabit bersama dengan tahap servis untuk memudahkan membuat pilihan.

"Kebanyakan pelanggan kami datang selepas mereka mendapat maklumat di internet apabila kenderaan rosak di sekitar Muallim dan Batang Padang, Perak," katanya.

Bagaimanapun, perkhidmatan Cik Lan Tunda tidak terhad di daerah ini sahaja malah di seluruh negara termasuk Thailand dan Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2022 @ 7:01 AM