GAYA penerjun yang pelbagai ketika berada di ruang udara.
GAYA penerjun yang pelbagai ketika berada di ruang udara.
PENGENDALIAN payung terjun antara tahap yang dinilai untuk mendapatkan lesen terjunan udara.
PENGENDALIAN payung terjun antara tahap yang dinilai untuk mendapatkan lesen terjunan udara.
PENERJUN akan membuat terjunan pada tahap ketinggian tertentu.
PENERJUN akan membuat terjunan pada tahap ketinggian tertentu.
PEMANDANGAN dari mata burung yang jelas ketika terjunan udara.
PEMANDANGAN dari mata burung yang jelas ketika terjunan udara.
PESAWAT antara komponen terpenting dalam terjunan udara.
PESAWAT antara komponen terpenting dalam terjunan udara.
Hafiz Ithnin


Berada pada ketinggian lebih 1,219 meter di udara. Melayang-layang untuk beberapa ketika sebelum payung udara menggelembung dan akhirnya rasa puas sukar digambarkan sebaik mendarat dengan selamat.

Apabila berada di udara dengan ketinggian tertentu, sudah pasti seluas mata burung merakam pemandangan di bawah sepuas-puasnya.

Hanya mereka yang benar-benar berjiwa kental berani melakukan aktiviti terjun udara (skydive) dan di Malaysia tidak ramai melakukannya terutama dalam kalangan orang awam.

Kebanyakan aktiviti terjun udara dimonopoli pihak keselamatan negara. Namun, mungkin ramai masih tidak mengetahui sebenarnya terjunan udara juga boleh disertai orang ramai sekiranya mereka benar-benar berminat.

Penulis difahamkan terdapat beberapa lokasi popular di Malaysia sering menjadi tempat aktiviti terjun udara antaranya Langkawi (Kedah), Segamat (Johor) dan Tekah (Taiping, Perak).

Namun, persediaan awal dari segi tempahan dan mencukupkan kuota penerjun menjadikan aktiviti itu tidak mudah untuk dilakukan pada bila-bila masa.

Bagi mereka yang berminat diwajibkan mengikuti kursus mencakupi teori dan praktikal bagi mendapatkan lesen penerjun udara bebas daripada badan profesional tertentu antaranya United States Parachute Ascosiation (USPA), British Parachute Ascosiation (BPA) serta Australian Parachute Federation (FPA).

Namun bagi yang baru berjinak-jinak dalam aktiviti ini mereka boleh mencuba terlebih dahulu dengan menyertai ‘tandem assisted freefall’ iaitu penerjun dibantu seorang tenaga pengajar berpengalaman atau dikenali sebagai Tandem Master.

Tandam Master akan berada di bahagian belakang bagi membolehkan individu kali pertama merasai sendiri pengalaman terjunan udara.

Peringkat kedua, sekiranya sudah berasa selesa untuk meneruskan aktiviti terjun udara dengan lebih serius, mereka boleh menyertai latihan terjun statik (static jump).

Ini bermakna peserta perlu mengikuti kursus teori sekitar empat jam mengikut syarikat penyedia perkhidmatan masing-masing dan praktikal terjunan.

Terjun statik adalah latihan untuk penerjun baru yang mana mereka akan dibantu seorang tenaga pengajar berpengalaman dan payung cadangan terbuka secara automatik apabila penerjun terjun keluar dari pesawat.

Setiap aktiviti terjunan yang dilakukan perlu mengisi kegiatan mereka di dalam buku log dan mendapat pengesahan daripada pihak pemerhati profesional yang menjalankan latihan berkenaan.

Harga yang dikenakan untuk menyertai kursus terjun statik di Malaysia adalah antara RM1,500 hingga RM1,800 seorang dan ia bergantung kepada syarikat atau pakej disediakan.

Ketika latihan terjun statik dilakukan, setiap penerjun dilatih untuk mengendalikan beberapa disiplin penting seperti latihan keluar pesawat, mengawal payung dan mendarat serta persediaan sekiranya berlaku kecemasan seperti payung tidak berkembang dengan baik.

Selepas beberapa kali membuat terjun statik dan boleh mengawal dengan baik, penerjun layak menyertai latihan terjunan bebas atau dipanggil Assistance Free Fall (AFF) yang mana terdapat tenaga pengajar akan terjun bersama penerjun ketika sesi terjunan dilakukan.

Peringkat seterusnya, sekiranya seseorang itu dapat mengendalikan AFF dengan sempurna mereka boleh meneruskan latihan untuk mendapatkan lesen ‘Freefall.’

Ketika latihan ‘Freefall’ dilakukan penerjun perlu membuat latihan terjunan udara yang mana mereka tidak membuka payung terjun sebaik saja keluar dari pesawat seperti latihan terjun statik.

Kebiasaan ketika menjalani latihan berkenaan, pesawat berada pada ketinggian sekitar 3,048 meter dan penerjun perlu membuka payung cadangan secara manual pada ketinggian selamat yang ditentukan tenaga pengajar berpengalaman.

Di peringkat Freefall, kursus teori mengambil masa sekitar lima hingga enam jam dan penerjun juga perlu melengkapkan jumlah terjunan minimum yang ditetapkan pengeluar lesen seperti USPA.

Di Malaysia, orang ramai boleh menjalani latihan terjun statik, AFF, ‘Freefall’ di bawah kendalian syarikat penyedia perkhidmatan terjunan udara yang berpengalaman.

Bagi mereka yang berkeinginan melakukan aktiviti terjun udara di luar negara, penerjun perlu mendapatkan lesen diiktiraf di peringkat antarabangsa untuk penerjun rekreasi seperti USPA dan BPA yang mempunyai gred tertentu dalam aktiviti rekreasi terjunan udara.

Sementara itu, Pengarah Operasi dan Keselamatan syarikat penyedia perkhidmatan latihan terjun udara tempatan, Aggroosev Adventure Consultant, Muhammad Nasarizal Nasarudin berkata, aktiviti terjun udara di Malaysia mempunyai potensi tinggi untuk dikembangkan kepada orang ramai memandangkan ramai golongan muda ketika ini gemar mencuba aktiviti rekreasi ekstrem.

Malah menurutnya, terjunan udara juga berpotensi menjadi produk pelancongan tempatan untuk dipromosikan kepada pelancong asing yang berminat melakukan aktiviti rekreasi ekstrem berkenaan di Malaysia.

Katanya, di Malaysia juga, permintaan terhadap aktiviti terjun udara semakin bertambah dan mempunyai pengikutnya tersendiri. Namun, diharap pelbagai pihak dapat memajukan aktiviti ini terutama untuk menyediakan kemudahan serta lokasi yang sesuai.

“Terjunan udara mempunyai keunikan tersendiri kerana penerjun dapat merasai tahap keberanian yang maksimum dalam berekreasi dan seperti kita tahu ramai golongan muda di Malaysia gemar melakukan aktiviti rekreasi ekstrem,” katanya yang mempunyai kira-kira 10 tahun pengalaman dalam bidang terjunan udara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2018 @ 11:10 AM