AZRAIE, Sufi dan Nornatasha antara yang gemarkan aktiviti rekreasi di dalam hutan.
AZRAIE, Sufi dan Nornatasha antara yang gemarkan aktiviti rekreasi di dalam hutan.
Hafiz Ithnin


Wajah bersahaja si cilik, Ayyar Sufi Mohd Azraie, 5, atau mesra disapa Sufi mendaki bukit, meredah jalan denai berlumpur dan bersemak. Kadangkala gayanya seperti pendaki profesional dengan beg galas dan kasut sesuai serta lengkap dipakai.

Anak kepada pasangan Mohd Azraie Md Yusof, 34, dan Nornatasha Mohd Noor, 33, mula mengikut bapanya mengembara di dalam hutan sejak berusia setahun dan berkhemah di Sungai Chilling, Kuala Kubu Bharu sebagai lokasi perkhemahan pertama dalam hidupnya.

Pengalaman penulis bersama Sufi dalam satu aktiviti perkhemahan di Lubuk Kawah tahun lalu, melihat sendiri keupayaan kanak-kanak ini berjalan selama enam jam di dalam hutan tanpa banyak ragam.

Kaki kecilnya menapak secara berhati-hati ketika menempuh halangan jalan denai seperti akar yang berselirat dan batu-batu besar. Ia menunjukkan Sufi bukan kali pertama mengembara ke dalam hutan.

SIFAT tidak mudah meragam memudahkan bapanya membawa Sufi mengembara.
SIFAT tidak mudah meragam memudahkan bapanya membawa Sufi mengembara.

Malah, mulutnya juga tidak henti-henti bertanyakan pelbagai soalan kepada orang dewasa di sekelilingnya berkenaan apa yang dilihat di depan mata. Umpamanya bagaimana burung membuat sarang? Mengapa di dalam hutan masih terdapat pasir seperti di pantai? Selain pelbagai soalan terus diajukan.

Sebagai orang dewasa terutama bapanya, soalan diajukan Sufi seharusnya dijawab dengan tepat kerana itu antara teknik untuk menghilangkan rasa bosannya berjalan bagi jangka masa yang agak lama.

Bapanya, Azraie berkata, nama Ayyar yang diberikan pada pangkal nama Sufi bermaksud pengembara dan apabila digabungkan ertinya pengembara Sufi. Kini, nama yang diberikan kepada anaknya ternyata membentuk peribadi Sufi yang gemarkan aktiviti pengembaraan.

Beliau berkata, setakat ini antara 20 lokasi yang pernah dilawati Sufi termasuk Bukit Broga, Semenyih; Bukit Saga, Ampang; Bukit Gasing, Petaling Jaya; Bukit Tabur, Hulu Klang; Sungai Pisang, Gombak; Lata Jerbus, Kuala Kubu Bharu; Jeram Kak Lang, Ulu Bendul; Lata Charok, Janda Baik; dan Lubuk Kawah, Tanjung Malim, Perak.

BERADA di dalam hutan mengeratkan hubungan anak dan bapa.
BERADA di dalam hutan mengeratkan hubungan anak dan bapa.

“Sebelum berkahwin lagi saya sendiri sememangnya meminati aktiviti luar terutama mendaki gunung. Jadi, selepas berkahwin dan memiliki anak, saya kongsikan minat itu bersama keluarga.

“Ibu Sufi juga seorang yang aktif dalam aktiviti renang dan secara tidak langsung meningkatkan kebolehan anak kami dalam pelbagai cabang sukan rekreasi.

“Ia sememangnya menjanjikan gaya hidup sihat,” katanya.

Azraie yang juga wartawan di salah sebuah syarikat akhbar tempatan turut membelanjakan wangnya untuk membeli pelbagai barangan keperluan dan kelengkapan Sufi melakukan aktiviti luar.

Katanya, untuk membolehkan kanak-kanak menyertai aktiviti rekreasi termasuk mengembara melalui jalan denai dan mendaki bukit atau gunung, keperluan seperti menyediakan kasut serta pakaian yang sesuai perlu diutamakan.

“Bagi saya, jika ingin membawa anak kecil menyertai kegiatan luar seperti masuk ke dalam hutan, kita kena sediakan kelengkapan yang perlu bagi memastikan mereka selesa untuk berjalan jauh dan selamat.

“Dalam masa sama, keperluan termasuk kasut mendaki sesuai untuk Sufi untuk meredah cabaran terutama laluan berair dan selamat digunakan,” katanya.

SUFI membantu menyediakan persiapan membuat unggun api.
SUFI membantu menyediakan persiapan membuat unggun api.

Tambahnya, melalui aktiviti seperti itu, ia bukan sahaja dapat menguatkan lagi hubungan antara ibu bapa dan anak, malah mendidik mereka menjadi seorang yang tahu menghargai nilai alam semula jadi.

“Di samping itu, aktiviti seperti ini dapat membina keyakinan diri pada anak saya, menjadikannya seorang yang lebih berani, berdikari dan menyemai minat untuk meneroka keindahan alam.

“Malah, beberapa kajian membuktikan bahawa kanak-kanak akan menjadi lebih ceria, sihat dan bijak apabila dibawa meneroka alam semula jadi,” katanya.

Selain mengembara di dalam hutan, beliau juga meluangkan masa bersama Sufi melalui aktiviti berkhemah, berbasikal dan berkayak untuk mempelbagaikan aktiviti sukan luar kepada anaknya itu.

Azraie yang juga aktif dalam pelbagai aktiviti pendakian gunung tempatan dan luar negara, berhasrat minatnya dapat diteruskan Sufi pada masa depan selain percaya aktiviti sukan rekreasi dapat mendekat diri dengan Pencipta.

“Saya menyimpan impian untuk mendaki gunung Alp dan berbasikal mengelilingi dunia bersama keluarga suatu hari nanti. Saya harap impian ini tercapai,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2017 @ 12:41 PM