TAMAN Eko Rimba Bukit Wang selepas dibaik pulih.
TAMAN Eko Rimba Bukit Wang selepas dibaik pulih.
Zaitie Satibi


KAWASAN hutan di Semenanjung Malaysia terdiri daripada hutan hujan tropika. Ia diurus dengan sistematik sejak Jabatan Perhutanan ditubuhkan pada 1901. Amalan pemeliharaan dan pengurusan hutan yang menitik beratkan aspek ekologi serta alam sekitar digubal untuk menjamin perkhidmatan selain penghasilan yang berkekalan.

Berdasarkan ketinggian kawasan dari aras laut, hutan ini juga boleh dikelaskan kepada Hutan Dipterokarpa Pamah meliputi semua hutan di kawasan tanah dan di kaki-kaki bukit sehingga ketinggian 300 meter (m).

Hutan Dipterokarpa Bukit pula jenis hutan yang paling luas di Semenanjung dan wujud pada ketinggian 300 hingga 750 m, manakala Hutan Dipterokarpa Atas adalah hutan antara ketinggian 750 hingga 1,200m. Hutan Montane-Oak adalah hutan berada antara paras ketinggian 1,200 hingga 1,500 m dan hutan yang melebihi 1,500 m adalah Hutan Ericaceous Gunung.

Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) menerusi agensi negeri kini giat memperkenalkan beberapa kawasan Hutan Dipterokarpa sebagai Taman Eko Rimba untuk kawasan rekreasi dan pelancongan hutan baharu bagi melahirkan masyarakat sihat dan mencintai alam sekitar.

Antara aktiviti riadah yang boleh dilakukan di Taman Eko Rimba yang tidak mengenakan sebarang bayaran kepada pengunjung seperti mendaki, berkhemah, jejak hutan, memerhati burung, memancing dan bermalam. Selain itu, turut diadakan program berbentuk pendidikan yang akan mengajak masyarakat mencintai alam semula jadi.

Jika anda mencari lokasi pelancongan alam semula jadi bersesuaian untuk seisi keluarga dari kanak-kanak hingga dewasa, cuba kunjungi Taman Eko Rimba sambil menghirup udara segar dan menikmati pemandangan hijau flora. Hutan berkenaan juga menawarkan banyak sudut menarik untuk anda berswafoto dan memuatnaik di laman media sosial.

Taman Eko Rimba Bukit Wang di Jitra, Kedah yang dibuka semula kepada orang ramai sejak awal tahun ini selepas Jabatan Perhutanan Kedah melakukan kerja pemuliharaan dan baik pulih menawarkan suasana dikelilingi hutan semula jadi cukup mendamaikan jiwa.

Terletak kira-kira 12 kilometer (km) dari pekan Jitra, Taman Eko Rimba Bukit Wang yang berada dalam kawasan Hutan Simpan Bukit Perangin turut memiliki nilai sejarah tersendiri apabila terdapat empangan yang dibina British pada 1913.

Selain berkelah dan mandi-manda, pengun-jung juga boleh melakukan aktiviti lain di kawasan terbabit seperti berkhemah dan memancing. Taman Eko Rimba Bukit Wang turut dilengkapi kemudahan asas seperti gazebo, trek jalan dan tempat letak kenderaan untuk memudahkan orang ramai berkunjung ke kawasan rekreasi itu.

PUPUK nilai cintakan alam sekitar di Taman Eko Rimba Gunung Belumut.
PUPUK nilai cintakan alam sekitar di Taman Eko Rimba Gunung Belumut.

Pejabat Perhutanan Johor Tengah juga giat mempopularkan kawasan Taman Eko Rimba di bawah seliaannya. Antara yang giat dipromosi tahun ini adalah Taman Eko Rimba Gunung Belumut di Kluang dan Taman Eko Rimba Soga Perdana di Batu Pahat.

Taman Eko Rimba Soga Perdana kira-kira lima kilometer dari bandar Batu Pahat terkenal dengan aktiviti mendaki dan peminat sukan mendaki pasti tidak melepas peluang mendaki Gunung Soga dengan ketinggian 820m. Terletak di dalam Hutan Simpan Soga, Taman Eko Rimba ini memiliki kepelbagaian flora dan fauna selain mempunyai menara pandang yang berfungsi sebagai lokasi tinjau panorama hutan serta bandar Batu Pahat.

Bagi Taman Eko Rimba Gunung Belumut yang terletak di Hutan Simpan Kluang pula, ia popular dengan spesies Orkid Selipar selain aktiviti mendaki puncaknya setinggi 1,010 meter. Gunung Belumut diberi nama sempena keadaan batu-batu di gunung yang licin dan berlumut.

Pengunjung perlu melalui jalan balak menggunakan kenderaan pacuan empat roda atau berjalan kaki melalui denai. Di kaki gunung ini terdapat aliran air terjun yang sederhana tinggi dan airnya sejuk serta nyaman, ia menjadi tarikan pengunjung terutama pada musim cuti atau hujung minggu.

Namun begitu, bagi aktiviti pendakian di kawasan Taman Eko Rimba ini pengunjung perlu mendapatkan Permit Memasuki Hutan Simpan dan akan dikenakan bayaran yang ditetapkan pihak berkuasa negeri.

Taman Eko Rimba Sungai Besi yang berada dalam Hutan Simpan Sungai Besi di ibu negara dan dijangka dibuka kepada orang ramai pada Oktober ini bakal menyediakan kemudahan kawasan rekreasi serta pelancongan hutan baharu di Lembah Klang.

Jabatan Perhutanan Wilayah Persekutuan turut memfokuskan pembangunan zon Arboretum bagi menjadikan hutan rekreasi dengan keluasan 42.29 hektar itu sebagai pusat pembelajaran dalam bandar melalui tanaman pelbagai spesies pokok yang ada di negara ini. Ia termasuk tumbuhan herba, orkid dan pokok berbuah dan warna-warni serta rotan.

Ini berikutan Taman Eko Rimba Sungai Besi adalah kawasan Hutan Dipterokarpa Tanah Pamah yang masih wujud dan terpelihara di tengah-tengah bandar raya serta berkepentingan daripada aspek kepelbagaian biologi serta menjadi habitat kepada pelbagai spesies flora atau fauna.

Di samping menjadi tempat warga kota beriadah, kawasan ini juga sesuai menjadi gedung ilmu kepada ahli akademik serta pelajar sekolah dan universiti untuk membuat kajian kerana mempunyai koleksi spesies flora yang unik serta terancam kerana kedudukannya strategik di Kuala Lumpur.

Taman Eko Rimba dahulunya dikenali sebagai Hutan Lipur sebelum dijenamakan semula JPSM pada penghujung 2016. Sehingga kini, terdapat 117 Taman Eko Rimba di seluruh negara yang diuruskan jabatan berkenaan.

TAMAN Eko Rimba saji pemandangan hijau fl ora.
TAMAN Eko Rimba saji pemandangan hijau fl ora.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Julai 2019 @ 10:02 AM