MASJID Raja Haji Fi Sabilillah dibina di atas kawasan berkeluasan 6.8 hektar dengan kos pembinaan RM44.3 juta.
MASJID Raja Haji Fi Sabilillah dibina di atas kawasan berkeluasan 6.8 hektar dengan kos pembinaan RM44.3 juta.
Nor Hanisah Kamaruzaman


Masjid Raja Haji Fi Sabilillah di Cyberjaya, Sepang, Selangor menjadi masjid pertama di Malaysia menerima sijil Indeks Bangunan Hijau (GBI) dengan penarafan platinum.

Selain reka bentuk dan seni bina menarik, masjid yang dibina di atas tanah berkeluasan 6.8 hektar ini menjadikan kecekapan tenaga sebagai teras utama.

Melangkah kaki ke masjid ini pasti membuat pengunjung kagum dengan kesegaran dan suasana persekitaran yang tenang serta santai.

Menurut Ketua Pengurusan Projek Cyberview Sdn Bhd Abdul Aziz Andimori, masjid berkenaan menggunakan pencahayaan dan pengudaraan semula jadi.

“Binaan masjid ini mengguna pakai sistem pengudaraan semula jadi walaupun mempunyai pendingin hawa yang kebiasaannya hanya digunakan ketika solat Jumaat di dewan solat utama.

“Ukiran geometri pada bahagian bumbung dan dinding bangunan masjid bukan saja membantu proses pengudaraan semula jadi tapi turut memudahkan cahaya matahari menembusi dalam bangunan.

“Di sekeliling dewan solat utama turut terdapat kolam air yang digunakan untuk cipta kabus air semula jadi apabila ditiup udara,” katanya.

Masjid yang dibina dengan kos pembinaan RM44.3 juta itu turut menjimatkan tenaga elektrik dalam pengurusan lampu masjid.

“Lampu LED digunakan pada keseluruhan masjid untuk mengurangkan penggunaan elektrik. Selain itu, lampu tidak dibuka sepanjang malam sebaliknya ia dikawal menggunakan sistem pergerakan (movement system).

“Masjid ini turut mempunyai sistem pengurusan bangunan yang mengawal semua sistem elektrik dan mekanikal seperti penggunaan serta suhu pendingin hawa,” katanya.

Malah Masjid dua tingkat yang memuatkan 10,000 jemaah dalam satu-satu masa itu turut memanfaatkan air hujan sebagai bukti kecekapan dalam pengurusan sumber air.

Abdul Aziz berkata, masjid itu mengurangkan penggunaan air bersih dibekalkan syarikat air negeri dengan menyimpan air tadahan hujan sebelum digunakan untuk beberapa keperluan.

“Penggunaan air hujan dapat menjimatkan sebanyak 70 peratus dalam perbelanjaan bil air. Sistem air hujan dalam masjid ini dibekalkan untuk penyiraman landskap sekitar masjid selain turut digunakan untuk keperluan tandas,” katanya.

Pada masa sama masjid berkenaan turut mengetengahkan inovasi sistem penapisan canggih bagi memastikan kadar karbon dioksida yang selesa.

Menariknya, masjid yang dibina pada 18 Mac 2013 dan siap sepenuhnya pada 19 Januari 2015 itu turut mengetengahkan panel solar pada aras bumbung selain menyelitkan rumput tiruan pada ruang yang sama.

“Penggunaan rumput tiruan dikatakan dapat mengurangkan cahaya matahari terus untuk masuk ke masjid membuatkan suasana dalam masjid kurang panas.

“Selain itu, pemasangan panel solar dipadang di atas bumbung masjid bukan saja mengurangkan cahaya matahari terus tapi turut menjimat kos tenaga elektrik.

“Tenaga yang dijana dari panel solar ini dijual kepada Tenaga Nasional Berhad dan ia mampu menjana pendapatan sehingga RM5,000 sebulan,” katanya.

Katanya, panel solar dengan ukuran 350 meter persegi itu mampu menjana tenaga dengan kapasiti 48 kilowatt per peak.

Menurut Abdul Aziz, ruang pada bumbung masjid itu bakal dibuka tidak lama lagi bagi memuatkan lebih ramai jemaah dalam satu-satu masa.

Nama masjid Raja Haji Fi Sabilillah diambil sempena adinda Raja Lumu iaitu Sultan Selangor pertama, Sultan Salehuddin (1756 - 1777).

Raja Haji Fi Sabilillah Ibni Upu Daeng Chelak menyandang gelaran Engku Kelana (1747 - 1777) pemerintah Kepulauan Riau dengan gelaran Yamtuan Muda Riau keempat.

Sepanjang pemerintahannya, Kepulauan Riau berkembang pesat sebagai pusat pelabuhan dan pelayaran terpenting selain turut menjadi pusat penyebaran agama Islam di rantau Asia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2017 @ 1:14 PM