UEDA tewaskan Daren pada perlawanan akhir Piala Thomas New Delhi tahun lalu.
UEDA tewaskan Daren pada perlawanan akhir Piala Thomas New Delhi tahun lalu.
Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Semakin yakin. Itulah yang diluahkan perseorangan negara Liew Daren apabila mara ke pusingan ketiga Grand Prix (GP) Emas Masters Malaysia 2015, semalam.

Kemenangan ke atas Takuma Ueda dari Jepun pada pusingan pertama kelmarin, meningkatkan semangatnya apabila menumpaskan rakan senegara, Zulfadli Zulkifli 23-21, 22-20 di Stadium Perpaduan, Kuching.

“Walaupun menang hari ini (semalam), saya tidak bermain baik seperti bertemu Ueda,” katanya puas menebus kekalahan ke atas pemain Jepun itu yang menewaskannya pada perlawanan akhir Piala Thomas 2014 New Delhi tahun lalu.

Ditanya mengenai aksi pusingan ketiga bertemu Wang Tzu Wei dari Taiwan, pemain kelahiran Kuala Lumpur itu membayangkan perlawanan sukar kerana belum pernah bertemu sepanjang kariernya.

“Saya kini hanya mahu fokus satu persatu perlawanan dan cuba untuk mara sejauh mungkin,” katanya.

Bagaimanapun, pasangan beregu campuran, Chan Peng Soon-Lai Pei Jing mencuri tumpuan semalam apabila menyingkirkan pilihan keempat dari Indonesia Markis Kido-Pia Zebadiah Bernadeth dengan kemenangan 21-18, 21-14 aksi pusingan pertama.

“Kami bermain seperti biasa, tapi hari ini lawan kami tidak beraksi dengan baik. Kami mengambil peluang itu,” kata Pei Jing yang akan berdepan satu lagi pasangan Indonesia, Fran Kurniawan-Komala Dewi di pusingan kedua esok.

Turut mara Soo Teck Zhi yang menumpaskan pemain India, Dey Subhankar 21-19, 17-21, 21-10 manakala beregu wanita Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho menundukkan pilihan kelapan dari Thailand, Puttita Supajirakul-Sapsiree Taerattanachai 21-19, 21-15.

Bagaimanapun, perseorangan lelaki, Chong Wei Feng, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Tan Kian Meng dan Goh Soon Huat serta beregu wanita utama, Vivian Hoo-Woon Khe Wei terkandas.

Wei Feng tewas kepada bekas pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Mohamad Arif Abd Latif 14-21, 21-23, manakala Iskandar tumpas di tangan Riichi Takeshita (Jepun) 21-7, 12-21, 13-21 dan Kian Meng dijinakkan pemain Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin 21-12, 16-21, 9-21.

Vivian-Khe Wei terpaksa menerima hakikat Naoko Fukuman-Kurumi Yonao (Jepun) lebih hebat daripada mereka apabila kalah 17-21, 24-26.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 January 2015 @ 5:02 AM