ERIN sukar berenggang dengan puteranya.
ERIN sukar berenggang dengan puteranya.
MAJLIS akikah Faliq diadakan secara kecil-kecilan.
MAJLIS akikah Faliq diadakan secara kecil-kecilan.
RUMAH tangga Erin dan Farriz lengkap dengan kehadiran Faliq.
RUMAH tangga Erin dan Farriz lengkap dengan kehadiran Faliq.
Oleh Georgie Joseph


Transisi hidup pelakon muda ini cukup indah. Selepas mendirikan rumah tangga tahun lalu, dia kini melayari fasa bahagia sebagai ibu.

Pada usia 21 tahun, remaja lain mungkin masih berseronok dengan kehidupan bujang, namun bagi pelakon Misiku Kuza ini dia gembira dengan statusnya kini.

Menimang cahaya mata sulung baru-baru ini, Erin Malek tidak dapat membayangkan kehidupannya tanpa si kecil yang diberi nama Mohamed Faliq. Kehadiran bayi comel ber­usia dua bulan setengah itu mengukuhkan lagi hubungannya dengan suami tercinta, Mohamed Farriz Fauzy.

Ditemui pada majlis akikah Faliq Sabtu lalu, pelakon itu langsung tidak berenggang dengan puteranya itu.

Menurut Erin, Faliz mudah dijaga kerana tidak banyak ragam.

“Saya beruntung kerana Faliq anak yang sangat baik. Dia tidak banyak ragam.

“Susah untuk saya berenggang dengannya. Pernah juga cuba tetapi saya yang tak boleh. Boleh dikatakan hidup saya kini 24 jam dengan Faliq,” katanya.

Tidak dinafikan, ada ketika dia mahu ruang bersendiri untuk melakukan aktiviti harian namun setiap kali cuba berjauhan dengan Faliq, hatinya pasti dipaut rasa bersalah.

“Ada masa saya kena pergi membeli-belah barangan dapur. Saya terpaksa tinggalkan Faliq sebentar dengan pembantu rumah ataupun hantar ke rumah mentua.

“Baru keluar sekejap, saya rasa gelisah dan asyik terfikirkan Faliq. Ketika itu rasa hendak balik cepat.

“Ada juga sesekali keluar berjumpa kawan-kawan, tetapi saya pasti bawa Faliq bersama,” katanya.

Begitulah kuatnya ikatan kasih Erin terhadap anaknya sehinggakan kadangkala dia berasa risau apabila suaminya menjaga Faliq.

“Biasalah, hati ibu. Apapun Farriz memang kena jaga Faliq kalau saya buat kerja terutama pada waktu malam,” katanya.

Belum sedia berlakon

Ditanya bilakah dia akan kembali aktif berlakon, Erin menegaskan bukan dalam waktu terdekat. Selain belum bersedia, dia mahu menumpukan sepenuh perhatian terhadap Faliq terlebih dahulu.

“Saya mahu berada di sisi Faliq dan melihat dia membesar. Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata betapa seronoknya menjadi ibu.

“Tak boleh bayangkan bagaimana agaknya jika saya tidak dapat pantau Faliq. Dia pun gelisah apabila tak mendengar suara saya,” katanya.

Berbual soal masa depan Faliq, Erin berkata, dia belum ada sebarang perancangan. Buat masa ini dia dan Farriz cuma mahu anak mereka itu membesar dengan sempurna.

“Sebagai ibu saya hanya mahukan yang terbaik buat Faliq. Apapun minatnya kelak, saya dan suami pasti akan beri sokongan penuh.

“Bagaimanapun, kami menitikberatkan aspek pendidikan. Ia penting untuk masa depannya,” katanya.

Majlis akikah yang diadakan secara kecil-kecilan itu dihadiri ahli keluarga dan sahabat karib pasangan romantik itu.

Jelas Erin, kesempatan itu memberi peluang kepada tetamu melihat Faliq dari dekat.

“Ramai ahli keluarga dan kawan-kawan yang belum lihat Faliq. Alhamdulillah majlis berjalan lancar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2015 @ 12:58 PM