Hamzah Osman


Langkawi: Majlis pendaftaran murid tahun satu sesi persekolahan 2017 di Sekolah Kebangsaan Langkawi (SKL) di sini, hari ini, dipenuhi dengan pelbagai aksi dan ragam.

Tinjauan di dewan terbuka sekolah itu pada 9 pagi, mendapati tiada tangisan, sebaliknya gamat dengan celoteh, riak wajah ceria dan rasa teruja murid memperoleh rakan baru.

Murid terbabit dilihat tidak segan untuk menyapa antara satu sama lain dan tidak kekok menjawab pertanyaan guru yang bertugas di meja pendaftaran.

Selain itu, tidak ketinggalan kelibat ibu bapa yang semestinya mahu melihat gelagat anak mereka di hari pertama memasuki alam persekolahan.

Seorang murid, Nur Aina Norhazram, 7, berkata, dia memang suka pergi ke sekolah kerana boleh mendapat ramai kawan baru yang sebaya.

"Saya bangun awal hari ini.... memakai baju baru yang dibeli ibu dan abah untuk datang ke sekolah," katanya yang juga anak keempat dari enam beradik.

Sementara itu, Guru Besar SKL, Mahtar Desa, berkata, 100 murid tahun satu mendaftar di sekolah itu membabitkan 69 lelaki dan 31 perempuan.

"Dalam tempoh tiga jam program hari ini kita turut adakan taklimat kepada murid dan waris selain proses pembelian peralatan tulis di kedai buku sekolah," katanya ketika ditemui di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2016 @ 12:34 PM
NUR Aina (kiri) tersenyum ketika ibunya, Aini Murgan membetulkan tudungnya pada majlis pendaftaran murid tahun satu di Sekolah Kebangsaan Langkawi. FOTO Hamzah Osman
NUR Aina (kiri) tersenyum ketika ibunya, Aini Murgan membetulkan tudungnya pada majlis pendaftaran murid tahun satu di Sekolah Kebangsaan Langkawi. FOTO Hamzah Osman