Kuala Lumpur: Pelumba Jepun, Yuki Takahashi (gambar) menghampiri gelaran juara keseluruhan selepas berjaya mencatat masa terpantas pada sesi kelayakan SuperSports 600cc sekali gus memulakan perlumbaan akhir dari petak pertama pada pusingan akhir Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand, hari ini.

Penunggang Musashi Boon Siew Honda Racing itu mencatat masa terpantas satu minit 39.194 saat, 0.369s di depan pelumba wildcard yang juga bekas juara SuperSports 600cc, Decha Kraisart (Yamaha Thailand Racing Team) yang masih berbisa dengan masa terbaik 1:39.563s.

Pelumba Indonesia Ahmad Yudhistira (Manual Tech KYT Kawasaki) turut memulakan perlumbaan dari barisan depan apabila mencatat masa ketiga terpantas 1:39.069s.

“Penggunaan tayar baru pada sebahagian sesi kelayakan membantu saya mencatat masa lebih baik. Dari segi pelarasan jentera, tidak banyak perubahan dilakukan,” jelas Takahashi.

“Bagi perlumbaan akhir pertama esok (hari ini), saya akan menggunakan pelarasan serupa digunakan hari ini memandangkan perlumbaan akan berlangsung pada waktu yang hampir sama. Saya harap dapat memenangi perlumbaan dan seterusnya meraih gelaran keseluruhan.”

Sementara itu, Apiwat Wongthananon (AP Honda Racing Thailand) melaungkan amaran untuk terus mencabar kedudukan pendahulu keseluruhan kategori Asia Production 250cc, Takehiro Yamamoto apabila berjaya mencatat masa terpantas dengan masa 1:56.981s sekali gus memulakan perlumbaan akhir dari petak pertama.

Berada di petak bersebelahan adalah rakan sepasukan Nakarin Atiratphuvapat yang merakam masa kedua terpantas 1:57.237s.

Pendahulu keseluruhan Yamamoto (TRICKSTAR Racing) yang berkelebihan 25 mata ke atas Apiwat akan memulakan perlumbaan dari petak ketiga selepas mencatat masa ketiga terpantas 1:57.415s.

Dalam saingan Underbone 130cc, pelumba Faito Factory Racing, Anggi Permana Putera dan Wahyu Aji Trilaksana akan memulakan perlumbaan dari petak bersebelahan di barisan depan sesudah muncul pelumba terpantas sesi kelayakan Superpole.

Anggi mencatat masa terpantas 2:09.946s manakala Wahyu kedua dengan masa 2:10.083s. Pelumba Malaysia Md Adib Rosli (RCB Yamaha YY Pang Racing) turut memulakan perlumbaan dari barisan depan dengan masa ketiga terpantas 2:10.470s.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2015 @ 5:07 AM