Oleh Saiful Affendy Sapran

Sepang: Pelumba sensasi negara Mohd Zamri Baba mempamer tunggangan cemerlang apabila mendominasi sesi kelayakan Supersports 600cc Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) selepas mencatat masa terpantas 1 minit 05.123 saat sekali gus bakal memulakan perlumbaan di petak pertama, hari ini.

Zamri yang menunggang jentera MUSASHi Boon Siew Honda Racing, hanya lebih 0.206s berbanding rakan sepasukan, Yuki Takahashi yang menyambar petak kedua.

Takahashi yang berpengalaman beraksi di Kejuaraan Motosikal Dunia dalam kelas Moto2 nyata tidak mampu menyekat Zamri apabila mencatat masa 1 minit 5.329 saat.

Pelumba Indonesia Ahmad Yudhistira dari pasukan Manual Tech KYT Kawasaki, menyambar petak ketiga.

“Saya tak menjangka mampu melakukan catatan masa terpantas hari ini (semalam). Tapi pasukan dapat sediakan jentera dengan baik dan menyelesaikan masalah pada ujian pra musim lalu,” kata Zamri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2015 @ 5:13 AM