PENDUDUK mengharung banjir di Chennai, semalam.
PENDUDUK mengharung banjir di Chennai, semalam.
Agensi

Chennai: India semalam mengerahkan tentera ke Tamil Nadu dan menutup lapangan terbang utama negeri itu selepas banjir akibat hujan lebat sejak empat minggu lalu semakin buruk hingga menyebabkan hampir 200 terbunuh.

Ribuan penumpang terkandas di lapangan terbang di Chennai, ibu negeri Tamil Nadu selepas landasannya dinaiki air memaksa puluhan penerbangan dibatalkan.

Pihak berkuasa berkata, pasukan penyelamat yang membawa bersama mereka kelengkapan menyelam, bot getah dan kelengkapan perubatan ditugaskan memindahkan mangsa di tempat selamat di seluruh negeri itu.

“Sekurang-kurangnya 10,000 polis dan perenang terlatih dikerah untuk membantu usaha menyelamat,” kata Ketua Polis Chennai JK Tripathy.

Menurutnya, 186 orang dilaporkan terbunuh dalam bencana yang memasuki minggu keempat itu.

“Keadaan memang menyedihkan. Sebahagian kawasan tenggelam sama sekali,” kata SP Selvan, jurucakap Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan SP Selvan.

“Jika hujan berhenti, keadaan akan bertambah baik. Jika ia berterusan malam ini (semalam), lebih banyak masalah akan timbul.

Pihak berkuasa bekata, lapangan terbang itu akan ditutup sekurang-kurangnya sehingga hari ini.

Bagaimanapun, Ketua Jabatan Meteorologi India LS Rathore berkata, hujan lebat dijangka berterusan sekurang-kurangnya selama 72 jam lagi.

India mengalami banjir setiap kali musim monsun dari Jun hingga September.

Ratusan mati di Srinagar September tahun lalu dan ribuan lagi penduduk terperangkap di bumbung rumah masing-masing apabila hujan lebat selama beberapa hari menyebabkan air Sungai Jhelum memecahkan tebing.

Sebahagian Chennai terputus bekalan elektrik semalam dan siaran televisyen menunjukkan penduduk di kawasan terjejas mengharungi air paras pinggang dengan ramai menjunjung barangan masing-masing.

Perkhidmatan bas dan kereta api juga terjejas.

Media tempatan melaporkan, sekolah di Chennai terpaksa ditutup sementara peperiksaan ditangguhkan akibat banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2015 @ 7:07 AM