LEBIH sejuta penduduk di negeri Assam di timur laut India terpaksa dipindahkan.
LEBIH sejuta penduduk di negeri Assam di timur laut India terpaksa dipindahkan.
Reuters

GUWAHATI (India): Lebih sejuta penduduk di negeri Assam di timur laut India terpaksa dipindahkan selepas hujan lebat akibat musim monsun mencetuskan banjir besar yang turut menyebabkan sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh.

Pihak berkuasa memberitahu, sungai Brahmaputra yang mengalir dari pergunungan Himalaya ke India dan ke Bangladesh melimpah ke tebing sehingga menenggelamkan lebih 1,800 perkampungan di negeri itu.

“Seramai 10 orang maut dalam beberapa insiden lemas berasingan, sejak tiga hari lalu dan lebih sejuta penduduk terjejas kerana banjir menjadi lebih teruk,” menurut buletin banjir kerajaan negeri.

Hujan lebat menjejaskan sekurang-kurangnya 25 daripada 32 daerah di Assam dan badan sumber air persekutuan berkata, paras air di Brahmaputra dijangka meningkat dengan ramalan hujan lebih banyak dalam tempoh tiga hari lagi.

“Situasi banjir masih amat kritikal,” kata Menteri Sumber Air Assam, Keshab Mahanta.

Assam terkenal dengan teh berkualiti tinggi, ia berdepan banjir dan hujan lebat, sejak beberapa tahun, sehingga meragut puluhan nyawa dan memaksa ratusan ribu penduduk berpindah.

Negeri itu berada dalam tahap amaran maksimum memandangkan ramalan hujan lebat untuk tempoh beberapa hari akan datang, kata pihak berkuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2019 @ 12:15 AM