PENDUDUK menyelamatkan seorang lelaki  di Chennai.
PENDUDUK menyelamatkan seorang lelaki di Chennai.
Reuters

New Delhi: Peminat teknologi di seluruh India berganding bahu membantu mangsa banjir di Chennai dengan menggunakan media sosial untuk berkongsi maklumat berhubung bekalan makanan, penambahan nilai kredit telefon bimbit dan perlindungan.

Hujan lebat berterusan di bandar berkenaan mengakibatkan lebih tiga juta orang terputus perkhidmatan asas dan bekalan elektrik yang turut melihat pihak berkuasa diselar kerana operasi bantuan serta menyelamat yang dianggap lembab.

Tentera India berdepan masalah memindahkan ribuan penduduk yang terkandas di dalam dan sekitar Chennai dalam banjir akibat hujan lebat yang setakat ini mengakibatkan sekurang-kurangnya 269 terbunuh dan 1,000 parah.

Sehubungan itu, sukarelawan serta syarikat menggunakan aplikasi atas talian termasuk Google dan rangkaian media sosial Facebook serta Twitter untuk membantu mangsa.

Krish Ashok, anggota Chennairains.org berkata: “Kami menyampaikan permintaan orang ramai yang mahu diselamatkan kepada pegawai kerajaan dan penduduk tempatan.”

Chennairains.org turut menyenaraikan pihak yang menawarkan perlindungan, bekalan air serta pakaian.

Sementara itu, Practo sebuah syarikat yang menghubungkan pesakit dengan doktor mengeluarkan dokumen Google awam dengan senarai 57 pengamal perubatan yang menawarkan perkhidmatan mereka.

Jurucakapnya berkata: “Kami mengemas kini dan memeriksa doktor yang mampu memberi perkhidmatan termasuk yang memang menawarkan bantuan mereka.”

Di media sosial, penggunaan hashtag seperti #ChennaiRainsHelp juga digunakan untuk berkongsi makanan dan ubat percuma, malah menyediakan perkhidmatan panggilan persidangan bagi mereka yang kehabisan kredit telefon bimbit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2015 @ 5:38 AM