ANAK harimau bintang yang ditemui dalam beg penumpang. Foto AFP
ANAK harimau bintang yang ditemui dalam beg penumpang. Foto AFP
AFP

NEW DELHI: Seorang penumpang ditahan selepas menyeludup seekor anak harimau bintang berusia sebulan dalam beg yang dibawanya atas kapal terbang ketika penerbangan dari Bangkok ke Chennai, kata pihak berkuasa India.

Anak harimau seberat hanya satu kilogram itu ditemui dalam bakul beli-belah plastik yang disembunyikan dalam beg selepas penumpang itu tiba di India menaiki penerbangan Thai Airways.

Pihak berkuasa mengesyaki sesuatu tidak kena apabila mendengar bunyi pelik daripada beg itu lalu menghentikan penumpang yang cuba meluru keluar dari lapangan terbang di Tamil Nadu, selatan India itu.

“Jawapannya meragukan, jadi kami membuak begnya untuk diperiksa. Haiwan itu dalam keadaan terkejut dan lemah,” kata pegawai lapangan terbang.

Kerakyatan lelaki berusia 45 tahun itu tidak dinyatakan. Kes berkenaan sudah diserahkan kepada biro jenayah hidupan liar negeri.

Ketuanya, A O Limatoshi berkata, pihaknya menyiasat sama ada lelaki itu sebahagian daripada rangkaian penyeludupan antarabangsa.

Video diedarkan pihak berkuasa lapangan terbang menunjukkan pegawai memberi anak harimau bintang itu susu menggunakan botol bayi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Februari 2019 @ 9:43 PM