POAD memberi arahan kepada pelari negara.
POAD memberi arahan kepada pelari negara.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: “Sesuatu mungkin berlaku di Vietnam.” Itu ramalan jurulatih olahraga negara Mohd Poad Md Kassim menjelang Kejohanan Remaja Asia di Ho Chi Minh yang bermula esok.

Mempertaruhkan dua pelari terbaik Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) dalam acara 100 dan 200 meter Badrul Hisyam Abdul Manap dan Khairul Hafiz Jantan selain kuartet 4x100m, Poad meletakkan harapan cukup tinggi buat anak didiknya melakarkan sesuatu sebagai bukti mereka antara yang terbaik negara ketika ini.

Katanya, setakat ini beliau berpuas hati dengan persiapan yang berjalan seperti dirancang dengan semangat luar biasa ditunjukkan Khairul memungkinkan pelari itu melakarkan kejutan di Vietnam.

“Daripada pengamatan saya, semangat Khairul begitu tinggi mungkin kerana kecewa nama dia digugurkan pada saat akhir untuk ke Taiwan dua minggu lalu.

“Oleh kerana tidak dapat ke Taiwan, program latihan Khairul juga diubah dan mungkin itu memberi kelebihan kepadanya di Vietnam nanti,” katanya yang menyasarkan Badrul dan Khairul layak ke final acara 100 dan 200m.

Berdasarkan catatan terbaik peribadi masing-masing, kedua-dua atlet negara itu berpeluang cerah meraih pingat.

Tahun lalu acara riben biru itu dimenangi atlet Taiwan Yu Shu Shen selepas mencatatkan 10.48s untuk emas manakala Tang Yao dari China perak (10.60s) dan Burhan Wardhani dari India gangsa (10.81s).

Catatan terbaik Badrul tahun ini adalah 10.34s di Terbuka Pahang manakala Khairul 10.41s di Terbuka Filipina.

Sementara itu pasukan kuartet yang diperkuatkan Asnawi Hashim, Muhammad Haiqal Hanafi selain Badrul dan Khairul turut berpeluang menyumbangkan pingat seandainya merekodkan masa di bawah 40s.

Seramai 20 atlet negara akan beraksi di Kejohanan Remaja Asia itu dalam usaha memperbaiki pencapaian dua tahun lalu yang sekadar membawa pulang dua gangsa menerusi Russel Alexander Nasir Taib dan Shereen Samson Vallabouy, kedua-duanya menerusi acara 400m lelaki dan wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2016 @ 8:29 AM