MILNER (tengah) meraikan kejayaan menjaringkan gol Liverpool pada perlawanan Sabtu lalu.
MILNER (tengah) meraikan kejayaan menjaringkan gol Liverpool pada perlawanan Sabtu lalu.
AFP

London: Manchester City dan Liverpool mengetuai senarai pasukan yang dijangka melangkah ke separuh akhir Piala Liga minggu ini ketika aksi suku akhir berlangsung tanpa beberapa nama besar.

Dengan Arsenal, Manchester United, Tottenham Hotspur serta juara bertahan Chelsea sudah tersingkir, City dan Liverpool sudah tentu menjadi pilihan untuk beraksi di final yang bakal berlangsung 28 Februari depan.

City yang bakal melayan pasukan divisyen dua, Hull City malam ini, menang 3-1 ke atas Southampton hujung minggu lalu dan selepas tewas di tangan Liverpool serta Juventus dalam dua aksi sebelum ini, penjaga gol Willy Caballero berharap kejayaan Sabtu lalu akan menjadi titik perubahan pasukan.

“Kami perlu bermain seperti ini pada perlawanan seterusnya,” katanya di dalam laman web rasmi kelab.

“Disember lalu, jika kami bermain sebegini, jika semua pemain yang cedera dapat kembali beraksi seperti David Silva, saya rasa kami pasti kekal di tangga teratas liga.”

Caballero diturunkan bagi menggantikan Joe Hart yang cedera manakala pengurus Manuel Pellegrini perlu memutuskan sama ada mahu menurunkan penyerang Sergio Aguero yang mengalami kecederaan ketika menentang Southampton.

“Kami perlu melihat dulu,” kata Pellegrini. “Adalah penting bagi kami untuk melangkah ke separuh akhir Piala Liga.”

Liverpool berdepan laluan sukar di Southampton, esok tetapi mereka perlu sedar bahawa Reds hanya tewas sekali sepanjang 10 perlawanan sejak Jurgen Klopp mengambil alih tempat Brendan Rodgers selaku pengurus.

Klopp menyaksikan anak buahnya menewaskan Swansea City 1-0 kelmarin, hasil jaringan James Milner dan mereka juga beroleh semangat baru apabila kapten Jordan Henderson dan penyerang Daniel Sturridge sudah kembali sembuh.

“Ia berita yang baik. Mereka adalah pemain penting yang sering beraksi cemerlang,” kata Klopp sambil mendedahkan pemain tonggak Brazil Philippe Coutinho bakal diturunkan ketika menentang Southampton selepas diketepikan pada aksi hujung minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2015 @ 7:07 AM