ARTETA sedia malukan Liverpool di Anfield. FOTO Reuters
ARTETA sedia malukan Liverpool di Anfield. FOTO Reuters
AFP

London: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta berkata, beliau tidak terpengaruh dengan rekod buruk kelabnya di Anfield, apabila mensasarkan kemenangan menentang Liverpool esok yang akan memastikan mereka berada di landasan terbaik memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Anak buah Arteta mendahului Manchester City dengan kelebihan lapan mata di puncak liga menjelang perlawanan hujung minggu ini, dengan pasukan Pep Guardiola beraksi menentang Southampton awal pagi esok.

The Gunners tidak pernah memenangi aksi liga di Anfield sejak Arteta beraksi ketika menang 2-0 pada 2012.

Di bawah bimbingan Jurgen Klopp, Liverpool memenangi enam aksi liga sebelum ini di laman sendiri dengan jumlah keseluruhan jaringan 22-4.

Bagaimanapun, Liverpool sekarang ini terumbang-ambing di tempat kelapan liga, 29 mata di belakang Gunners, dan Arsenal sudah pun menamatkan penantian panjang untuk menang di Tottenham musim ini.

"Kami harus menikmatinya. Kami perlu benar-benar menggunakan masa terbaik ini dan berjuang habis-habisan.

"Pasukan ini benar-benar penuh bersemangat dan positif. Kami sedar berdepan cabaran besar tetapi inilah peluang terbaik untuk pergi ke Anfield dan melakukan sesuatu yang kami tidak lakukan selama bertahun-tahun.

"Itulah yang memacu pasukan dalam beberapa hari kebelakangan ini. Kami tahu apa yang perlu kami lakukan. Kami bermain di tempat yang paling sukar," katanya.

Dua jaringan Gabriel Jesus ketika menang 4-1 ke atas Leeds minggu lalu memberikan Arteta beberapa pilihan untuk memperkuatkan barisan depan.

Bukayo Saka sedia untuk kembali selepas tidak diturunkan pada perlawanan berkenaan akibat masalah kesihatan dan bermakna hanya dua slot lagi bakal direbut antara Jesus, Gabriel Martinelli dan Leandro Trossard.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2023 @ 12:37 PM