PASUKAN MASUM meraikan kejayaan meraih emas bola sepak SIPMA di Kompleks Sukan Tuanku Syed Faizuddin UiTM) Perlis semalam.
PASUKAN MASUM meraikan kejayaan meraih emas bola sepak SIPMA di Kompleks Sukan Tuanku Syed Faizuddin UiTM) Perlis semalam.
Oleh Hafizudin Mohd Safar

Arau: Pasukan Majlis Sukan Universiti-Universiti Malaysia (MASUM) mengekalkan kejuaraan acara bola sepak Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) 2015 buat kali keempat berturut-turut semalam.

Kemenangan yang dilakar pada perlawanan terakhir pertandingan secara round robin itu ketika menewaskan Majlis Sukan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta Malaysia (MASISWA) 2-1, membolehkan MASUM menduduki tangga teratas dengan 13 mata daripada lima perlawanan.

Majlis Sukan Politeknik Malaysia (MSPM) kedua dengan 10 mata, diikuti Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) ketiga, sembilan.

Perlawanan terakhir yang berlangsung di padang Kompleks Sukan Tuanku Syed Faizuddin Putra Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis itu menyaksikan MASUM mendahului dengan dua gol pada separuh masa pertama, sebelum MASISWA merapatkan jurang untuk keputusan 2-1 itu kekal sehingga tamat permainan.

MASUM dikendalikan jurulatih berpengalaman yang juga bekas pemain kebangsaan seperti Fisol Razak, Zulharisham Awang serta Jamsari Sabian mula muncul juara SIPMA sejak 2005.

Pengurus Mohd Yazli Yahya berkata, pihaknya bersyukur dengan kemenangan itu walaupun pasukan berkenaan dibentuk kurang daripada dua bulan selain sebahagian besarnya dibarisi muka baru.

“Walaupun berlatih dalam tempoh singkat, ternyata pemain berupaya mencari keserasian sehingga muncul juara,” katanya.

Katanya, sebahagian besar pemain adalah bakat baru daripada Liga Bola Sepak Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan juga pasukan UiTM FC yang turut bersaing dalam Liga Malaysia.

Dalam perkembangan lain, kejayaan MASUM meraih emas bola sepak gagal membantu untuk mengatasi MSSM yang dinobatkan juara keseluruhan dengan 41 pingat emas, 39 perak dan 27 gangsa.

MASUM muncul naib juara dengan 30 emas, 18 perak dan 22 gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2015 @ 6:08 AM