HAIQAL (kanan) muncul pelari terpantas 200m SIPMA di Stadium UKM, Bangi, hari ini. — FOTO SIPMA
HAIQAL (kanan) muncul pelari terpantas 200m SIPMA di Stadium UKM, Bangi, hari ini. — FOTO SIPMA
Meor Riduwan Meor Ahmad


PELARI pecut kebangsaan, Haiqal Hanafi mempamerkan keunggulannya apabila merangkul emas acara 200 meter lelaki pada temasya Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) hari ini.

Peraturan pertandingan yang mengehadkan atlet kebangsaan bertanding dalam satu acara individu nyata memudahkan Haiqal yang tidak dicabar raja pecut SIPMA, Aqil Yasmin dan pemegang rekod 100m kebangsaan Khairul Hafiz Jantan.

Haiqal yang mempunyai catatan terbaik 21.20 saat yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga KOM minggu lalu, bagaimanapun sekadar mencatat 21.54s, gagal melepasi sasaran peribadinya 21.26s pada SIPMA kali ini.

Pingat perak dimenangi rakan sepasukan dari kontinjen Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM), Abdul Wafiy Roslan (21.92s) dan pingat gangsa milik Ku Amir Saywan Ku Sharif dari Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) dengan catatan 22.32s.

NUR Aliyah (kanan) mengungguli acara 200m SIPMA kali ini. — FOTO SIPMA
NUR Aliyah (kanan) mengungguli acara 200m SIPMA kali ini. — FOTO SIPMA

Bagi kategori wanita, pingat emas 200m dimenangi pelari pecut remaja kebangsaan, Nur Aliyah Abdul Rahman dari MSSM dengan 25.31s manakala rakan sepasukan, Chelsea Cassiopea meraih pingat perak (25.34s).

Pingat gangsa acara itu dimenangi S Shameta Juana Raj mewakili Majlis Sukan IPTS Malaysia (MASISWA) dengan masa 26.63s.

Penguasaan jelas dipamerkan MSSM dalam sukan olahraga apabila menambah tujuh pingat emas menjadikan 15 emas secara keseluruhan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 6:41 PM