Oleh Hafizudin Mohd Safar


Arau: Masalah kesihatan tidak menjadi penghalang atlet lompat bergalah Majlis Sukan Universiti-Universiti Malaysia (MASUM) Iskandar Alwi, 21, untuk meraih pingat emas Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) 2015, semalam.

Temasya SIPMA 2015 yang berlangsung di Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini menyaksikan Iskandar memecah rekod kejohanan 4.37 meter yang dilakukannya di Melaka pada 2011 Semalam, dia melakukan 4.80m.

Iskandar berkata, kehadirannya di SIPMA 2015 bukan untuk memenangi pingat lantaran belum sihat sepenuhnya selepas insiden keracunan makanan dialami sejak seminggu lalu.

Menurutnya, dia hanya sempat berlatih ketika tiba di Perlis sebelum kejohanan bermula dan tidak menyangka masih mampu membuat catatan terbabit.

“SIPMA hanyalah temasya pemanas badan sebelum saya menyertai kejohanan tahun depan. Justeru, saya tidak menyangka dapat memecahkan rekod yang dicatat empat tahun lalu,” kata anak kelahiran Kluang, Johor itu.

Dalam perkembangan lain setakat tengah hari semalam, pasukan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) masih mendahului kontinjen lain dalam senarai pungutan pingat selepas mengumpul enam emas, lima perak dan lima gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2015 @ 9:32 AM