ANTARA kawasan terjejas akibat banjir di Beaufort. FOTO Erdiehazzuan Ab Wahid
ANTARA kawasan terjejas akibat banjir di Beaufort. FOTO Erdiehazzuan Ab Wahid
Oleh Erdiehazzuan Ab Wahid


Beaufort: Tiga puluh empat kampung di daerah ini dan Membakut digenangi air akibat limpahan sungai Padas dari Tenom selain hujan sejak beberapa hari lalu.

Pegawai Daerah Beaufort Mohd Shaid Othman berkata, antara kampung terjejas adalah Kampung Balibata, Binunuk, Lumatai, Luagan dan 17 kampung lain di Lumadan.

"Manakala di Klias, antara yang terjejas adalah Kampung Batu 58, Kampung Batu 60, Pekan Beaufort dan enam kampung lain," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Namun Mohd Shaid berkata, sehingga 8 pagi tadi, belum ada sebarang pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.

"Bagi kawasan Membakut, hanya empat kawasan terjejas banjir antaranya Kampung Kayai, Baitam Laut, Brunei dan Jambatan Baru.

"Agensi keselamatan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beberapa agensi lain sudah diarah untuk memantau perkembangan terkini situasi banjir," katanya.

Sementara itu, di Tenom pula, seramai 519 penduduk daripada 150 keluarga dipindahkan ke enam pusat pemindahan selepas kediaman mereka dinaiki air.

Pengarah JPAM Sabah, Kolonel Mulliadi Al Hamdi Ladin berkata, dua PPS baru sudah dibuka iaitu Rumah Kebudayaan Saga dan Mandalom Lama, malam tadi.

"Paras air di sungai Padas di Tenom setakat 7 pagi ini berada pada paras amaran 176.47 meter berbanding 176.98m petang semalam," katanya.

Semalam, 468 penduduk daripada 142 keluarga dipindahkan ke empat PPS yang dibuka kira-kira 10 pagi.

Pegawai Daerah Tenom Madiyem Layapan berkata, empat pusat pemindahan yang dibuka adalah PPS Ponontomon, Labut 1 dan 2 serta Lalandang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2015 @ 3:16 PM