MESSI kembali berlatih bersama pasukan.
MESSI kembali berlatih bersama pasukan.

Barcelona: Lionel Messi dijangka kembali dalam kesebelasan utama buat kali pertama bagi tempoh dua bulan ketika Barcelona, yang membelasah Real Madrid 4-0 hujung minggu lalu, mengintai peluang layak ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara apabila AS Roma bertandang ke Nou Camp, awal pagi esok.

Seri sudah mencukupi buat pasukan yang memenangi tiga kejuaraan musim lalu, untuk layak ke pusingan kedua bagi musim ke-12 berturut-turut dari Kumpulan E dan Messi sudah mula diturunkan sebagai pemain gantian menentang Real Sabtu lalu.

Messi diketepikan kerana kecederaan sejak hujung September lalu namun Barca berjaya menyesuaikan diri dengan ketiadaan bintang utama itu ketika rakan serangan Neymar dan Luis Suarez bertindak cemerlang.

Suarez menyumbat dua gol manakala Neymar satu ketika membenam Real, membantu kedua-duanya mengumpul 19 gol dalam tujuh perlawanan.

“Ia persembahan hebat. Kami boleh berseronok sekarang tapi kini kami berdepan beberapa perlawanan sukar bermula dengan Roma,” kata pemain tengah Ivan Rakitic, yang kembali selepas kecederaan betis.

“Messi pemain yang amat penting dan syukur dia kembali bermain buat kami. Kecederaannya (ligamen lutut) lebih seius berbanding saya dan dia perlukan masa yang lebih lama untuk pulih tapi kami sedar dia amat penting kepada pasukan.”

Roma dan Barca seri 1-1 di ibu negara Itali itu September lalu.

Suarez meletakkan Barca di depan namun Alessandro Florenzi menjaringkan satu gol luar biasa dari satu posisi mustahil dari tepi garisan kanan, hampir 50 meter dari gol untuk menyamakan kedudukan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2015 @ 10:21 AM